Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini menjawab
mengapa beliau tidak bersifat agresif seperti Perdana Menteri sebelumnya
Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri kelima itu berkata beliau tidak berhasrat menggunakan
pendekatan Mahathir yang gemar memberi pandangan dalam pelbagai isu atau
memberi panduan semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
Bagi beliau, bila bersara bersaralAh dan tidak perlu mengacau orang yang sedang bekerja.
Katanya inilah sebab beliau gemar mendiamkan diri kerana bila sudah
bersara maka tidak seharusnya mencampuri urusan pentadbiran politik
semasa.
"Jika ada perkara yang tidak berkenan di hati, lebih baik sampaikannya
di dalam diam dan tidak perlu meluahkan secara umum yang mungkin
menimbulkan perasaan kurang senang," katanya memetik kenyataan di akhbar
berbahasa Cina, Nan Yang Siang Pau.
Beliau menambah jika kerajaan berhasrat menubuhkan Suruhanjaya Siasatan
Aduan dan Penambahbaikan Polis (IPCMC) maka pastinya ada perkara yang
tidak kena berlaku dalam kerajaan mahupun Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Semalam Perkasa menggesa Abdullah agar segera bangun dari tidur dan
melihat realiti dan perjuangan yang dilakukan oleh Perkasa selama ini.
Setiausaha agungnya, Syed Hasan Syed Ali berkata Abdullah sebenarnya
kecewa kerana Perkasa yang menggesa beliau untuk meletakkan jawatan.
Katanya, Abdullah seharusnya mencermin diri sendiri kerana semasa
pemerintahannya BN gagal mengekalkan dua pertiga kerusi di Parlimen
selain melihat beliau telah menghampakan bukan sahaja BN malah turut
ditolak oleh kaum bukan Melayu,
Syed Hasan menambah jika Abdullah seorang Perdana Menteri yang hebat,
pastinya beliau kekal sebagai Perdana Menteri hingga ke saat ini malah
lebih lama dari Mahathir. - 8 Ogos, 2013.
No comments:
Post a Comment