myMetro 31 Ogos 2013
Asuncion: Lima pemandu bas yang dipecat
majikan dan seorang daripada isteri mereka mempunyai cara tersendiri
untuk memprotes tindakan itu dengan menyalib diri sendiri menggunakan
paku sepanjang 38 sentimeter.
Protes mengerikan itu berlangsung sejak 20 hari lalu berhampiran
sebuah terminal bas di Luque, kira-kira 12 kilometer dari ibu negara
Paraguay.
Setiap seorang daripada mereka dibaringkan bersebelahan sebuah keranda kosong dan berikrar untuk terus disalib sehingga pekerjaan lama mereka dikembalikan. Seorang pegawai kesatuan sekerja yang mengetuai protes itu, Juan Villalba berkata, lapan pemandu dipecat selepas mereka menuntut bayaran kerja lebih masa, insurans perubatan serta sumbangan dana pencen. Kelmarin isteri Villalba, Maria Concepcion Candia, 39, menyertai protes itu untuk menunjukkan kebersamaan dengan bekas pemandu terbabit. Villalba berkata, kira-kira 50 pemandu bekerja dengan syarikat bas berkenaan selama beberapa tahun tanpa sebarang perlindungan.
Sesetengah daripada mereka dilaporkan mengalami masalah kesihatan,
termasuk demam panas dan kesakitan pada perut dan dada. Empat lagi
anggota kesatuan sekerja itu memulakan mogok lapar sejak 36 hari lalu.
Sementara itu, pengurus syarikat bas berkenaan berkata, lima pemandu
terbabit akan diambil bekerja semula, manakala yang lain diberi
pampasan. - Agensi
No comments:
Post a Comment