Bilangan rakyat Malaysia yang terlibat dalam penipuan mata wang semakin membimbangkan.
Enam bulan pertama tahun ini sahaja, wang hasil penipuan bernilai RM1
billion. Apa yang mengejutkan adalah nilai berkenaan hampir dengan kadar
kerugian sepanjang tahun lalu.
Ini bermakna nilai penipuan pada 12 bulan telah berlaku lebih pantas dengan mengambil masa enam bulan sahaja.
Lebih separuh nilai billion tersebut pada tahun ini mengalir ke
institusi kewangan akibat dari sistem pengurusan yang tidak cekap.
Apa yang membimbangkan adalah penipuan masih menjadi penyumbang
terbesar sejak tahun lalu dan apakah pengajaran diambil rakyat Malaysia
atas kes penipuan yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini.
Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan Persekutuan memberitahu The
Malaysian Insider jumlah kerugian dari Januari hingga Jun tahun ini
bernilai RM987 juta.
RM1.2 billion pula dicatatkan sepanjang tahun lalu.
Pengarahnya, Datuk Syed Ismail Syed Azizan telah mengenalpasti beberapa
punca di sebalik kes penipuan tersebut dan di antaranya ialah sindrom
Pinkerton iaitu merasa taksub berurusan dengan “Mat Saleh”.
Orang berkulit gelap dari Afrika juga cuba memainkan peranan seperti
orang Eropah bagi memudahkan usaha menipu rakyat Malaysia dengan
menonjolkan mereka sebagai orang kaya dan jujur.
“Beberapa kes penipuan yang melibatkan warga Afrika sering dilaporkan
di media namun masih ada yang tertipu dengan cara yang sama,” katanya.
“Warga Afrika ini fasih berbahasa Inggeris dengan menggunakan gambar
profil ‘orang putih’ di laman sosial bagi memudahkan urusan penipuan
mereka.
“Ramai wanita tergoda dengan kesantunan lelaki Afrika ini sama ada
melalui telefon atau sembang di Internet," beritahu Syed Ismail.
Kerugian dalam kes penipuan mencecah RM368 juta, satu angka yang
membimbangkan menurut Syed Ismail namun itu hanya jumlah yang
dilaporkan.
Syed Ismail memberi contoh seorang lelaki di Melaka membuat laporan setelah ditipu oleh orang tengah sebanyak RM20 juta.
Mangsa berkawan dengan suspek sejak September 2010 dan bersetuju
memberikan wang secara berperingkat untuk disimpan dalam simpanan tetap.
Di antara 2010 hingga 2013, mangsa memberikan wang sebanyak 81 kali
dalam pelbagai jumlah antara RM10,000 hingga RM20,000 dan menerima sijil
simpanan tetap sebagai ganjaran.
Jun lalu, mangsa pergi ke bank untuk memeriksa baki namun mengejutkan
apabila diberitahu baki wangnya hanya ribuan ringgit sahaja.
Pengurus bank memeriksa sijil simpanan tetap itu namun mendapati sijil tersebut adalah palsu belaka.
“Bagi transaksi seperti ini, mengapa mangsa menggunakan orang tengah?
Biarpun amaunnya kecil, transaksi berkenaan harus dilakukan sendiri oleh
pemegang akaun dan bukan pihak ketiga? soal beliau kesal.
Syed Ismail berkata kes pecah amanah pula dilaporkan berjumlah RM580 juta akibat kelemahan dalam sistem pengurusan.
Beliau memberi contoh satu institusi kewangan membuat laporan setelah
pinjaman bernilai RM220 juta diberikan oleh pihak yang tidak mempunyai
kuasa kepada pemohon yang tidak mencukupi syarat.
“Juruaudit luar memeriksa akaun institusi kewangan tersebut dan mendapati berlaku percanggahan,” katanya.
Laporan diberi kepada pengurus audit institusi berkenaan yang kemudian
membuat laporan polis. Beberapa pegawai bank telah bertindak tidak
mengikut prosedur apabila memberikan pinjaman melebihi had yang
dibenarkan.
"RM220 juta telah melebihi had yang dibenarkan oleh institusi tersebut mahupun pihak Bank Negara,” katanya.
“Beberapa kakitangan lain juga didapati meluluskan amaun pinjaman yang melebihi had," katanya sedih.
Syed Ismail berkata dalam sesebuah institusi kewangan harus mempunyai
pihak yang memantau sesuatu sistem bagi memastikan tiada salah guna oleh
pihak yang tidak bertanggungjawab. - 9 Ogos 2013.TMI
No comments:
Post a Comment