Sebanyak 75 peratus kes masalah pewaris tanah Kampung Baru yang berkait dengan hukum Faraid dijangka dapat diselesaikan dengan bantuan Perbadanan Pembanguan Kampung Baru (PKB).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Naharudin Abdullah berkata pihaknya telah menawarkan khidmat perundangan tanpa kos yang tinggi bagi memastikan isu hak milik ini dapat diselesaikan supaya pembangunan Kampung Baru dapat berjalan seperti yang dirancang.

Isu hak milik ini adalah di antara perkara yang telah menyebabkan pembangunan Kampung Baru gagal dilaksanakan sebelum ini, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat pembangunan tanah Kampung Baru kepada penduduk di kawasan Kampung Ujong Pasir di Kuala Lumpur hari ini.

"Kita akan selesaikan masalah pembahagian tanah dan mencari dokumen atau geran yang hilang," katanya.

Naharudin berkata selepas selesai mengenal pasti pemilik tanah, masalah pertikaian dalaman keluarga tidak akan timbul kerana di antara pemilik dan pewaris, pemilik atau tuan tanah mempunyai hak yang lebih besar.

Beliau berkata di Kampung Baru ada lot tanah yang mempunyai kira-kira 143 pewaris, dan usaha mengatasi masalah pewaris ini akan dijalankan serentak dengan pembangunan yang akan dibuat mengikut fasa.

Beliau turut berpuas hati dengan sambutan penduduk kampung itu yang bersetuju dengan rancangan pembangunan Kampung Baru, malah fasa pertama yang melibatkan pembangunan semula Pasar Raja Bot bernilai RM200 juta sedang berjalan dan dijangka siap pada 2016.

"Kita juga akan menyediakan Pelan Induk Pembangunan Kampung Baru yang terperinci pada Oktober ini dan dijangka siap pada April tahun depan, pewaris dan pemilik tanah di kampung itu akan dapat merujuk tentang masa depan kampung mereka," katanya.

Beliau amat bersyukur kerana tidak seperti tahun-tahun dahulu, PKB yang ditubuhkan pada 1 Sept 2012, tidak menerima sebarang tentangan dari penduduk Kampung Baru ekoran hasutan pembangkang berkenaan dengan pembangunan di tempat itu selepas penduduk menunjukkan sokongan yang amat padu kepada kerajaan semasa pilihan raya umum baru-baru ini.

Jika mengikut rancangan pembangunan yang dibentangkan pada tahun 2011, pembangunan di Kampung Baru akan melibatkan pembinaan bangunan meliputi 86 juta keluasan lantai yang mengandungi 17,300 unit kediaman.

Pembangunan ini juga akan menyediakan tempat untuk 69,200 penduduk.

Sementara itu, ahli perniagaan Shaharuddin Nordin, 65, memberitahu Bernama, Kampung Baru memberikan nostalgia tersendiri kepada beliau yang memulakan perniagaan nasi lemak pada usia 12 tahun di padang Kelab Sultan Sulaiman.

"Kita sudah sia-siakan 50 tahun, sedangkan Bukit Bintang yang dahulunya kawasan kelab malam dan kotor telah membangun maju," katanya.

Beliau menjadi wakil kepada tiga tanah lot iaitu di Lorong Haji Mahadi, Lorong 2A dan Jalan Haji Ali tetapi lot tanah di Lorong Haji Mahadi tersebut mempunyai kira-kira 170 pewaris.

Shaharuddin yang tinggal di Ampang, memberitahu Kampung Baru diteroka oleh datuknya yang terkenal dengan gelaran 'Ahmad Loke Yew' kerana pernah bekerja dengan tokoh Cina terkenal pada zaman itu iaitu Wong Loke Yew.

"Orang Kampung Baru cukup bertuah, pembangunan yang dicadangkan amat bagus kerana pemilik atau pewaris akan dapat unit kondo, dapat duit, dapat syer...jadi kekayaan yang diperolehi akan berpanjangan kepada generasi seterusnya," katanya.

Salah seorang penduduk Kampung Baru yang dilahirkan di situ 58 tahun lepas, Mohd Nor Hassan pula mahukan sentimen Melayu kekal sampai bila-bila walau apa pun bentuk pembangunan yang dibuat.

Beliau tidak mahu penduduk Kampung Baru diberi wang ringgit walaupun berjuta kerana wang ini boleh habis dalam masa beberapa bulan atau tahun sahaja dan generasi akan datang mengigit jari.

Hanya lima peratus penduduk Kampung Baru yang tidak bersetuju dengan projek  pembangunan itu dan mereka ini terdiri dari generasi tua kampung itu yang mahu mengekalkan tanah di kampung itu sebagai tanah warisan keluarga, katanya. MK

Bernama