Monday, August 19, 2013

Shahidan minta FAM batalkan semua hukuman dan wang dikembalikan

19 Ogos 2013

Oleh Hafizudin Mohd Safar
Kangar: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membatalkan semua hukuman yang telah dijatuhkan ke atasnya dan wang denda dipulangkan semula.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan badan induk bola sepak negara itu mengumumkan akan meminda Artikel 88 setelah ahli-ahli gabungan bermesyuarat dalam Kongres Tahunan FAM, kelmarin.
Dalam pindaan Artikel 88 itu, pegawai, ahli-ahli gabungan, jurulatih dan pemain boleh mengeluarkan kenyataan media tapi hanya dalam bidang kuasa masing-masing.

“Mereka (FAM) membuat pindaan itu kerana menyedari Artikal 88 adalah zalim! Sekiranya perkara itu tidak zalim, sudah tentu mereka akan kekalkan dan terus menguatkuasakannya di masa hadapan.
FotoANNUAR turut menjadi mangsa Artikel 88.

“Kuasa untuk melaksanakan Artikel 88 pula diberikan kepada pihak yang tidak sepatutnya iaitu Setiausaha Agong (SUA) FAM yang dilantik memegang jawatan dan bukan dipilih oleh ahli-ahli gabungan.”

“SUA pula dilihat telah menyalahgunakan kuasa itu dan menghukum pihak-pihak yang kononnya melanggar undang-undang FAM (Artikel 88), namun terdapat pilih kasih dari segi hukuman yang dilaksanakan,” tegas Shahidan.

Mengambil contoh dirinya sendiri, beliau hanya menyatakan bahawa FAM harus membantu pasukan yang bermasalah terutamanya dari segi kewangan seperti Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang pernah dipimpinnya, dan mahukan FAM melakukan transformasi pengurusan secara umum.

“FAM memilih langkah berhati-hati dan tidak berlaku adil dalam menjatuhkan hukuman, kalau orang biasa seperti saya, maka hukuman adalah berat dan denda juga besar, tetapi kalau orang berstatus tinggi seperti Tunku Mahkota Johor (TMJ) , hukuman adalah ringan walaupun kesalahannya lebih berat,” katanya.

Menurutnya lagi, hukuman digantung 30 bulan daripada terlibat secara langsung dengan bola sepak negara dan denda RM39,000 itu adalah tidak adil berbanding hukuman yang telah dijatuhkan kepada TMJ yang turut mengkritik FAM.

Pada pendapatnya, TMJ menerima hukuman lebih ringan iaitu digantung enam bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak, selain didenda RM18,000.

Hukuman itu tidak relevan dengan kritikan mempertikaikan mutu pengadilan pengadil FAM dalam Liga Malaysia.

Shahidan mahu pihak yang telah berlaku zalim menyalahgunakan Artikel 88 dibicara dan dijatuhkan hukuman setimpal merujuk kepada bekas Setiausaha Agong Datuk Azzuddin Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abd Razak.

“Mereka berdua telah menyalahkan kedudukan masing-masing untuk menghukum pihak lain sesuka hati tanpa belas kasihan dan saya tidak akan maafkan tindakan mereka itu,” tambahnya lagi.

Antara individu yang telah menjadi mangsa Artikel 88 Shahidan dan TMJ adalah bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Anuar Musa yang juga bekas Timbalan Presiden FAM serta dua bekas Naib Presiden FAM, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil.

Manakala jurulatih yang pernah dihukum adalah Reduan Abdullah, B Sathianathan dan Wan Jamak Wan Hassan.


myMetro

No comments:

Post a Comment