August 13, 2013
Surau
yang dijadikan tapak meditasi oleh sekumpulan penganut Buddha di sebuah
resort di Kota Tinggi, Johor diragui dari segi reka bentuknya serta
kedudukan arah kiblat tersasar dari Kaabah malah menghadap luar dari
kawasan Masjidil Haram.
Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin dipetik dari Bernama berkata
demikian selepas melawat surau di resort berkenaan yang mencetuskan
kontroversi apabila sekumpulan penganut Buddha dari Singapura
menggunakan surau itu bagi melakukan meditasi.
Hadir sama, Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Noh Gadut dan Pegawai Daerah Kota Tinggi Mohd Noor Azam Osman.
Noh berkata, berdasarkan pemerhatian terdapat kesilapan dalam ayat
Al-Quran dijumpai di kawasan surau berkenaan berkenaan yang menambah
kecurigaan serta mencemarkan kesucian agama Islam.
Katanya, isu itu bakal meruncing jika tidak ditangani segera terutama
dalam landskap negara yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Semalam, pihak polis menahan pemilik Resort Tanjung Sutera di Tanjung
Sedili, Kota Tinggi yang dikatakan memberi kebenaran surau di pusat
peranginannya dijadikan tempat upacara agama Buddha.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata pemilik berkenaan ditahan di resortnya jam dua petang semalam.
Polis akan mendapatkan perintah reman bagi membolehkan pemilik resort
berusia 45 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat
mengikut seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu mencemarkan tempat sembahyang
dengan niat hendak mengaibkan agama golongan lain.
Sebuah video yang dimuat naik di laman YouTube pada 10 Ogos lalu
menunjukkan sekumpulan sami dalam sebuah bangunan kecil melakukan
meditasi di hadapan potret Buddha.
Video sepanjang 63 saat itu bertajuk “Cina Buddha sembahyang di surau;
surau jadi tokong” dimuat naik oleh “Sebastianphiu” dan ditonton lebih
10,000 kali.
Lokasi kawasan surau turut dinyatakan dalam video berkenaan iaitu di Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor.
Pengurus resort itu mempertahankan keputusannya memberi kebenaran kepada penganut Buddha menggunakan surau.
Katanya, surau berkenaan hanya digunakan untuk bermeditasi dan tidak
menganggap perkara itu sebagai satu kesalahan. - 13 Ogos, 2013.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment