Penganalisis
politik, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusof menyahut pelawaan
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohamad Amar Nik Abdullah
(gambar) untuk ke Kelantan bertemunya selepas 2 September nanti.
"Setelah kecewa dengan tulisan saya yang alpa untuk memuji dua projek
penting kerajaan negeri, TMB mempelawa saya ke pejabat beliau untuk
menyelesaikan kekeliruan saya mengenai kerajaan negeri.
"Jawapannya ialah saya bersedia. Esok malam saya bertolak ke tiga buah
negara di Eropah dan akan segera berjumpa TMB selepas pulang pada 2
September nanti. Aduhai TMB, tunggu kedatangan saya!" kata Agus dalam
tulisannya.
Dalam wawancara dengan The Malaysian Insider di pejabatnya di Kota
Bharu, Nik Amar mempelawa untuk bertemu dengan Agus pada bila-bila masa
di pejabatnya.
Agus adalah pihak yang memulakan perdebatan secara terbuka ini apabila
menulis dan menyifatkan kerajaan negeri Kelantan hilang keghairahan
semasa 100 hari pentadbirannya.
Ia kemudian dijawab oleh Nik Amar melalui kenyataannya kepada The
Malaysian Insider dan seterusnya dijawab kembali oleh Agus dua hari
lalu.
"Orang seperti Agus ini harus memahaminya. Dia anak Kelantan, takkan
tidak tahu. Jika dia tidak puas hati, saya bersedia jumpa dia di pejabat
saya di Kota Bharu bila-bila masa," kata Nik Amar kepada The Malaysian
Insider.
Agus dalam menjawab kenyataan Nik Amar melalui wawancara itu berkata, Nik Amar syok sendiri ketika menjawab tulisan beliau.
"Apabila TMB menjawab posting saya mengenai isu Kelantan dalam The
Malaysian Insider, empat perkara tersentap di hati saya. Pertama,
jawapan beliau adalah self-indulgent (syok sendiri). Justeru syok
sendirilah, maka jawapan yang beliau berikan penuh fantasi dan terkeluar
dari isu sebenar yang saya timbulkan," kata Agus dalam tulisan yang
dibuat melalui Facebooknya.
Beliau juga mendakwa jawapan Nik Amar itu tergesa-gesa, alergik dengan kritikan dan tergelincir dari topik.
"Jika ini jawapan yang diberikan dalam peperiksaan, maka markah yang
saya berikan kepada jawapan TMB ialah OUB (out of bound). Tergelincir!
Jika saya mahu ulas hal ini, teruk jadinya. Maka, biar saya sekadar
menjelaskan apakah yang OUB itu?" katanya.
OUB itu, kata Agus, ialah apabila 'kita' tidak menjawab perkara yang ditanya?
"Misalnya, soalan saya ialah “mengapakah kerajaan Kelantan lewat
melaksanakan janji untuk melaksanakan lebuh raya rakyat?” Jawapan yang
diberikan ialah “kerana Agus tidak puas hati Datuk Husam (Musa) tidak
dilantik menjadi Exco.” Aduh, berat jawapan itu? Lain ditanya, lain yang
dijawab," katanya. – 22 Ogos, 2013.
The
Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment