myMetro 7 Sep 2013
Oleh Nor Azura Abdul Jalil
Kajang: Seorang bekas ahli sebuah kumpulan
nyanyian yang popular pertengahan tahun 2000 dihukum penjara 20 tahun
dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen semalam atas tuduhan merogol anak
tirinya berusia 14 tahun ketika kejadian, Februari tahun lalu.
Hakim Nor Hazani Hamzah memutuskan demikian terhadap lelaki berusia
38 tahun itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan
keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap tertuduh sehingga selesai rayuan di Mahkamah Tinggi. Jaminan ke atas tertuduh kemudian dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM80,000 dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sehingga rayuan selesai.
Tertuduh hadir ke mahkamah memakai kemeja jubah hitam dan berkopiah
ditemani ahli keluarganya. Mengikut pertuduhan, tertuduh yang
bekerja sebagai guru vokal didakwa melakukan kesalahan berkenaan di
sebuah rumah di Taman Gombak Jaya di sini, jam 9 pagi, 9 Februari 2012.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan Kanun
Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan
jika disabit kesalahan.
Pada prosiding semalam, Nor Hazani dalam penghakimannya berkata keterangan mangsa dalam kes itu mempunyai kredibiliti kerana disokong oleh saksi bebas dan doktor juga mengesahkan terdapat koyakan pada alat sulit mangsa. Sementara itu, mangsa yang hadir untuk memberi keterangan impak mangsa (VIS) berkata kejadian itu menyebabkan dia merasa tidak selamat dan jijik dengan diri sendiri.
“Saya rasa macam tidak ada semangat untuk hidup. Saya takut nak ke sekolah sebab takut masa silam bocor di sekolah,” katanya sambil menahan sebak.
Terdahulu, peguam Azmi Talib yang mewakili tertuduh memohon
mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana anak-anak tertuduh masih kecil
dan memerlukan kasih sayang.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nor Fadzlin Abd Zawawi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum demi kepentingan awam.
No comments:
Post a Comment