Syarikat
Jepun membeli balak haram dari hutan hujan yang diancam bahaya di
Sarawak dan mendapat kelulusan "sah" dibawah skim yang disokong
kerajaan.
Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, Global Witness (GW)
dalam laporan terkini tersebut mendedahkan dua syarikat Jepun Sojitz
Corporation dan Itochu Corporation telah membeli balak daripada dua
syarikat terbesar di Sarawak iaitu Samling Global dan Shin Yang Group,
yang didakwana terlibat dalam "pembalakan haram sistematik dan
merosakkan".
"Siasatan terbaru oleh Global Witness dan lain-lain pihak telah menemui gambaran mendalam terhadap krisis di Sarawak.
"Rasuah dalam peruntukan tanah dan lesen perhutanan sistematik yang
melibatkan peringkat tertinggi kerajaan. Penguatkuasaan yang lemah dan
tidak bertanggungjawab oleh syarikat-syarikat pembalakan menyebabkan
pembalakan haram dan tidak mapan berlaku secara meluas, "kata pemerhati
persekitaran global tersebut dalam laporan 24 muka surat.
Samling dan Shin Yang didakwa mempunyai hubungan rapat dengan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Awal Mac lalu, Taib juga mendapat perhatian antarabangsa selepas GW
mendedahkan dalam sebuah dokumentari penglibatannya dalam perjanjian
tanah dan pembalakan bernilai jutaan ringgit.
Taib kemudiaan membalasnya dengan mencabar Global Witness untuk
berdebat dengannya dalam isu rundingan tanah haram di Sarawak, dan
menuduh kumpulan aktivis alam sekitar antarabangsa itu mempunyai agenda
tersembunyi dengan melawat negeri terbesar Malaysia itu menggunakan
“cara licik”.
Beliau juga menegaskan Sarawak telah mengurangkan pembalakan tahunan
untuk memastikan kemapanan pengeluaran balak di kawasan hutan simpan
kekal, sebagai sebahagian daripada komitmen kepada Pertubuhan Kayu
Tropika Antarabangsa (ITTO) yang mencadangkan supaya perdagangan balak
mestilah daripada hutan yang diuruskan secara mampan.
Global Witness berkata meskipun memiliki bukti, Sojitz dan Itochu masih
meneruskan pengambilan daripada rakannya di Malaysia dan tidak
mendapatkan pengesahan sewajarnya sama ada balak yang diperoleh daripada
kedua syarikat itu dikeluarkan secara sah ataupun tidak dan sama ada
bebas daripada pencabulan hak asasi manusia.
Organisasi bukan kerajaan menyatakan kebanyakan balak yang datang dari
Sarawak, termasuk yang diperoleh daripada pembalakan di mana konsesi
pembalakan haram sistematik telah didokumenkan, berkemungkinan
disijilkan sebagai "sah" dalam sistem pengesahan di bawah Goho-wood
seperti yang digunapakai oleh kerajaan Jepun dan industri.
Di bawah Goho-wood, Jepun menerima jaminan daripada kerajaan Sarawak sebagai bukti sah yang mencukupi.
"Faktanya begitu banyak kayu dari Sarawak menerima cop kelulusan
daripada Goho-wood walaupun wujud bukti pembalakan haram sistematik oleh
syarikat-syarikat pembalakan menimbulkan kebimbangan yang sangat
serius," kata ketua polisi perhutanan antarabangsa Global Witness, Rick
Jacobsen .
10
September, 2013.The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment