Bekas
Timbalan Ketua Pengarah Cawangan Khas (SB) Tan Sri Yuen Yuet Leng
menyifatkan bekas pemimpin komunis Chin Peng (gambar) sebagai rakan
biarpun beliau sebelum ini dikenali antara pegawai negara yang giat
memburu komunis.
“Saya kehilangan rakan yang dulunya merupakan musuh namun dari situ
bermulalah persahabatan kami, moga rakan saya bersemadi dengan aman,”
kata Yuen dalam reaksinya mengenai kematian Chin Peng pagi tadi atau
nama sebenarnya Ong Boon Hua.
Perjanjian Damai Haadyai 1989 antara Malaysia dan Parti Komunis Malaya
(PKM) menyaksikan pembubaran parti itu setelah konflik yang berlarutan
hampir berdekad lamanya.
Selepas menandatangani perjanjian tersebut di Haadyai Thailand, Yuen
dan Chin Peng ketika itu dilihat bergurau sesama sendiri serta
mengejutkan wartawan yang hadir membuat liputan pada waktu itu.
Salah seorang dari wartawan bertanyakan kepada Yuen setelah sekian lama
memburu komunis menghapuskan gerakan itu tidakkah beliau mempunyai
perasaan benci terhadap Chin Peng.
“Ketika itu saya menoleh ke Chin Peng dan bertanya padanya adakah dia
mahu saya menjawab soalan tersebut bagaimanapun dia meminta saya
menjawab soalan itu.
“Saya berkata kami pernah cuba membunuh sesama sendiri sebelum ini
namun hari ini kami masih bernyawa dan berada di Haadyai, jadi wujudkah
kebencian itu,” katanya kepada The Malaysian Insider.
“Apabila usia kami meningkat maka timbullah perasaan hormat itulah pengertian kematangan
“Ketika kami masih muda, kami menentang sesama sendiri kerana
perbezaan ideologi namun apabila perjanjian ini ditandatangani kami
lebih memahami diri masing-masing,” katanya.
Sementara, bekas Ketua Pengarang Kumpulan Akhbar News Strait Times
Press (NSTP) Datuk A Kadir Jasin yang turut menyaksikan perjanjian
bersejarah di Haadhaadyaiyai pada tahun 1989 mengatakan Malaysia tidak
dapat melupakan kekejaman Chin Peng.
“Sentimen rakyat Malaysia ini yang masih kuat tidak mahu menerima Chin
Peng kembali di negara ini, mereka tidak dapat melupakan kesusahan dan
penderitaan apa yang dilakukan Parti Komunis Malaya,” katanya.
Apabila ditanya adakah wajar membawa pulang Chin Peng untuk dikebumikan
di Malaysia, Kadir berkata ia terpulang kepada pertimbangan rakyat dan
kerajaan.
“Wajar atau tidak biarlah yang menjawabnya rakyat dan kerajaan,
sekiranya rakyat boleh meaafkan Ching Peng maka kerajaan juga harus akur
membawa pulang, namun jika sebaliknya, maka terima saja keputusan itu,”
katanya. – 16 September, 2013.The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment