16 Sep 2013 Sudah
sampai masanya kerajaan mengiktiraf bekas setiausaha agung Parti
Komunis Malaya (PKM) Chin Peng sebagai pejuang kemerdekaan, kata bekas
ketua pengarang Utusan Malaysia Said Zahari (gambar).
Menurutnya, biarpun kerajaan cuba menafikan hak Chin Peng namun
hakikatnya beliau tetap merupakan anak kelahiran Malaysia dan sejarah
tidak menafikan bekas pemimpin komunis itu juga merupakan antara tokoh
yang memperjuangkan kemerdekaan negara.
"Saya menganggap Chin Peng ini perjuang kemerdekaan, Chin Peng dan
rakan-rakannya sebenarnya merupakan sebahagian dari kemerdekaan negara,
benar mereka ini menganggotai parti komunis tapi demi membebaskan Tanah
Melayu dari penjajah.
"Mereka ini sebenarnya yang menentang British, namun kerana politik,
kerana British mahu menguasai negara ini maka mereka melabelkan Chin
Peng ini sebagai musuh negara," kata Said ketika dihubungi The Malaysian
Insider.
Menurut Said yang pernah memimpin mogok Utusan membantah
pengambilalihan oleh Umno itu, tidak wajar kerajaan menghalang Chin Peng
dari pulang ke tanah air.
"Chin Peng ini anak kelahiran Sitiawan Perak, darahnya mengalir di
negara jadi mengapa hak mendiang sebagai rakyat Malaysia dinafikan tidak
dibenarkan pulang ke negara? Beliau patut diberi penghormatan untuk
kembali ke negara, biarlah Chin Peng bersemadi dengan aman di tanah
airnya sendiri.
"Chin Peng benar-benar seorang pejuang, begitu setia pada negara
lihatlah sampai saat terakhir beliau tetap mahu kembali ke negara
asalnya saya rasa sudah tiba masa rakyat Malaysia menerima Chin Peng
sebagai rakyat yang memperjuangkan kemerdekaan bukannya pemberontak,"
katanya.
Chin Peng dilaporkan meninggal dunia di Bangkok, Thailand pagi ini pada usia 90 tahun.
Menurut Bangkok Post, beliau meninggal dunia pada pukul 6.20 pagi.
Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dilahirkan di Sitiawan, Perak pada bulan Oktober, 1924.
Chin Peng mengetuai PKM melawan penjajah British selepas darurat diisytiharkan pada tahun 1948.
Perang berterusan sehingga perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia pada tahun 1989.
Beliau menetap di Bangkok, Thailand sehingga kematiannya pagi ini dan
tidak pernah dibenarkan pulang ke Malaysia walaupun berkali-kali
memohonnya. – 16 September, 2013. The Malaysian
Insider.
memang secara teorinya Chin Peng berjuang untuk kemerdekaan, tetapi untuk siapakah kemerdekaan itu...untuk melayu yang bermandi darah mempertahankan negara ini atau untuk hegemoni republik rakyat China..? dalam rangka untuk menyerlah kebenaran kita jangan lupa kepada kenyataan...berapa keratkah kaum Cina yang menentang British di Malaya pada waktu itu...mereka pada umumnya gembira dan senang dengan British yang memberi ruang yang begitu luas bagi pengekalan jatidiri dan penghidupan mereka. Maka usaha bagi mempamer perjuangan PKM harus lebih teliti dan jujur bukaan berasaskan sentimen sempit anti UMNO. Kelak menang sorak kampung tergadai. Namun yang jelas Mahatir langsung bukan pejuang kemerdekaan.
ReplyDelete