Krisis
kepimpinan yang berlaku dalam parti pembangkang diketuai Datin Seri Wan
Azizah Ismail dilihat sebagai cerminan kepada sifat Umno, kata
penganalisis politik tanah air, ekoran majoriti pemimpin PKR adalah
serpihan daripada parti tunjang Melayu tersebut.
Kebanyakan pemerhati politik tanah air berpendapat, krisis terbuka
antara Timbalan Presiden Azmin Ali dan juga Menteri Besar Selangor Tan
Sri Abdul Khalid Ibrahim menunjukkan berlakunya konflik antara
kepentingan parti dan kepentingan individu kepimpinan, yang mana dapat
dilihat dalam Umno pada suatu ketika dahulu.
Bukan lagi krisis terpencil, Azmin sebelum ini secara terbuka
mengkritik kepimpinan parti yang dilabel "parti keluarga" itu dengan Wan
Azizah sebagai Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum,
dan anak mereka Nurul Izzah Anwar (gambar) sebagai Naib Presiden.
Malahan, terdapat juga ura-ura Azmin akan menentang Wan Azizah dalam
pemilihan parti berkenaan yang dijangka berlangsung tahun hadapan.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin
Mohd Sani berpendapat, meskipun pertandingan merebut jawatan parti itu
normal, namun PKR perlu membuktikan sikap keterbukaan sekiranya Azmin
benar-benar bertanding menentang Wan Azizah dalam pemilihan akan datang.
"Kita tahu berlakunya krisis antara Azmin dan Khalid, dan juga Wan
Azizah... namun kita tak tahu berapa serius krisis ataupun keretakan
itu," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
"PKR adalah parti serpihan Umno, dan Umno suatu ketika pernah mengalami
insiden sama sehingga mengakibatkan perpecahan, namun bagi PKR kita
sedar krisis telah berlarutan sejak sekian lama," katanya.
Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Azmin dilihat lantang dalam
menyuarakan kenyataan keras, terutamanya ketika pelantikan Khalid
sebagai menteri besar Selangor.
Dalam laman mikro Twitter miliknya, Azmin pernah dilaporkan
berkata,"rakyat letih dengan asakan politik melampau. Terima hukuman,
muhasabah diri, akui kelemahan, maju ke hadapan, tumpu rakyat bukan
kerabat."
Kenyataan itu kemudiannya menerima liputan meluas media, yang
menunjukkan krisis dalaman PKR semakin meruncing sehingga sampai ke
tahap terbuka.
"Jika benar Azmin bertanding, PKR perlu mengalu-alukannya," kata
Azizuddin, dan menambah ia adalah bukti jelas sekiranya PKR melaksanakan
prinsip demokrasi seperti dilaungkan mereka.
Sementara itu, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, pensyarah di UUM,
berkata keretakan yang berlaku dalam PKR bukanlah perkara mengejutkan
kerana parti itu mirip kepada "abang" politik mereka Umno.
"Memang ada budaya Umno... mereka datang daripada Umno," katanya kepada The Malaysian Insider.
Jelasnya lagi, pertandingan adalah lumrah, namun dengan aspirasi individu berbeza dari parti ia bakal menghancurkan parti.
"Jika mereka tidak menerima jawatan tertentu, mereka akan kejar,"
katanya, dan menambah jika Azmin bertanding menentang Wan Azizah, Anwar
akan tertekan untuk menyebelahi isteri ataupun anak didiknya.
Perkara itu bagaimanapun disanggah Prof Madya Shaharuddin Badaruddin
yang menganggap pertandingan dalam parti tidak boleh dianggap sebagai
perpecahan kerana ia adalah lumrah dalam politik.
"Jika pertandingan membawa perpecahan umpama Umno dulu, dengan wujudnya
parti Semangat 46, itu dikira perpecahan... namun setakat pertandingan,
itu lumrah," katanya.
Beliau melihat perkara seumpama itu adalah kelaziman perbezaan pendapat dan "tegur-menegur" berlaku menjelang pemilihan parti.
"Ia berlaku dalam semua parti... tidak semestinya parti mengetuai
kerajaan atau sebaliknya," katanya kepada The Malaysian Insider.
"Ia normal, Kalau ada persaingn kepimpinan pasti ada pertelagahan
ideologi, nak urus parti macam mana... Ia bukan perpecahan," katanya
lagi. – 8 September, 2013.
The Malaysian Insider
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment