Pemimpin veteran Umno tersebut berkata kesan rasuah adalah lebih buruk
kerana ia juga melibatkan pengguna yang lebih terkena tempias.
"Kesan rasuah akan terkena kepada pengguna, wang akan mengalami kesan buruk.
"Sepatutnya mereka yang rasuah perlu ditangani dahulu," katanya dalam sidang media di kediamannya di Langgak Golf hari ini.
"Rasuah adalah perkara utama kita hadapi," tambahnya.
Beliau juga mencabar semua menteri dan timbalan menteri, termasuk
dirinya untuk mengisytiharkan aset supaya orang ramai boleh membuat
penilaian.
"Menteri, bekas menteri termasuk saya, ayuh isytiharkan harta masing-masing," cabar beliau.
Isnin lalu, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan harga RON95 dan diesel
sebanyak 20 sen, bagi memastikan sasaran kerajaan untuk mencapai
defisit fiskal dalam lingkungan 3% berbanding Keluaran Dalam Negara
Kasar (KDNK) pada 2015 dan bajet berimbang menjelang 2020.
Tengku Razaleigh, yang juga bekas Menteri Kewangan, bagaimanapun,
berkata langkah pemotongan subsidi tersebut walaupun dikritik hebat
perlu dilaksanakan bagi mengelak masalah ekonomi yang lebih meruncing
dihadapi kerajaan nanti.
"Berdasarkan laporan agensi penarafan kredit, kita dalam situasi tidak selesa.
"Saya berpendapat defisit fiskal yang dialami adalah dalam pelbagai
aspek, saya rasa kerajaan sepatutnya berjaga-jaga," katanya.
Katanya, kerajaan tidak berterusan memberikan subsidi yang tinggi dan
langkah rasionalisasi itu adalah tepat pada masanya ketika negara
berhadapan dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan serta hutang
kerajaan yang meningkat.
"Anda tidak boleh bertahan dengan subsidi yang tinggi.
"Kerajaan tidak lagi mampu untuk menanggung kos subsidi ini, " katanya.
Namun, Tengku Razaleigh mencadangkan kerajaan mengkaji sama subsidi
yang diberikan kepada pihak industri, gesaan sama yang dibuat oleh PKR
baru-baru ini supaya kerajaan mengkaji subsidi korporat yang tinggi
diperuntukkan kerajaan.
"Saya mahu lihat kerajaan fokus perhatian kepada subsidi dalam industri.
"Sesetengah industri menerima subsidi yang besar, khususnya seperti tarif elektrik," katanya.
Sejurus pengumuman Putrajaya pada Isnin lalu, orang ramai bergegas dan
memenuhi stesen minyak serta meluahkan rasa tidak puas hati mereka
terhadap langkah kerajaan tersebut.
Bagaimanapun, langkah pemotongan subsidi tersebut mendapat sokongan
pakar ekonomi yang menyifatkannya sebagai baik bagi menangani hutang
kerajaan yang semakin meningkat.
Malaysia mengalami defisit fiskal selama 15 tahun berturut-turut, malah
agensi penarafan global Fitch Ratings baru-baru ini juga meletakkan
Malaysia pada kedudukan negatif ekoran hutang negara meningkat kepada
53.3 peratus dalam KDNK pada penghujung tahun 2012 daripada 51.6 peratus
pada hujung tahun 2011 dan 39.8 peratus pada hujung 2008.
Kali terakhir minyak petrol RON95 dan diesel dinaikkan ialah pada 2010, sebanyak 5 sen seliter.
No comments:
Post a Comment