23 Sep 2013
Bangkok: Kumpulan 40 senator yang menjadi
pengkritik pentadbiran Yingluck Shinawatra semalam menafikan kewujudan
sebarang rancangan untuk menggulingkan kerajaan sebagaimana didakwa
bekas perdana menteri dalam buangan, Thaksin Shinawatra.
Senator Somchai Swangkarn, anggota utama 40 senator itu menafikan
tuduhan kerajaan akan digulingkan pada 8 Oktober. Namun, Somchai
menyatakan jika kerajaan mempunyai majoriti ahli parlimen sekalipun
tetapi boleh gagal jika ia tiada kesepakatan. Menurutnya, kenyataan
Thaksin itu sekadar cakap kosong kerana kerajaan sendiri menguasai
parlimen, tentera dan polis, selain Kementerian Dalam Negeri yang
menguruskan hal ehwal pentadbiran negara.
Somchai berkata, Thaksin hanya mengulang ramalan penilik nasib bernama Forngsanan Jamchanma. “Thaksin perlu melihat dirinya sendiri dan kembali ke Thailand bagi menghadapi hukuman,” katanya.
Seorang lagi ahli kumpulan 40 senator itu, Somjet Boonthanom berkata,
komen Thaksin dalam akhbar Thai Rath mengenai pembentukan semula negara
dari asas bagi mencapai perpaduan tidak akan berlaku selagi dia tidak
menyedari dirinya yang menjadi punca perpecahan dalam politik di
Thailand.
Somchai turut menyuarakan pandangan serupa sambil menambah Thaksin terlalu banyak menyalah guna kuasa ketika menjadi perdana menteri.
“Perpaduan tidak mungkin dicapai kecuali Thaksin meminta maaf dan meninggalkan politik demi kebaikan,” katanya. - Agensi
No comments:
Post a Comment