| Harakahdaily, | 23 Sep 2013 |
Demikian soalan bagi jawab lisan yang dikemukakan oleh Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Parlimen Ketiga Belas (2013) yang berlangsung hari ini.
Soalan bagi jawab lisan daripada ahli-ahli parlimen PAS hari ini seperti berikut:
Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz [Pasir Mas] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan peranan yang dimainkan oleh International Youth Centre terhadap pembangunan belia di Malaysia dan kos penyelenggaraan bangunannya setiap tahun.
Ahmad Baihaki Atiqullah [Kubang Kerian] minta Perdana Menteri menyatakan dalam menangani banyak permasalahan yang berlaku di negara ini, termasuk kejadian jenayah, adakah Kerajaan bercadang untuk mengambil ajaran agama Islam sebagai penyelesaiannya termasuklah perlaksanaan hukum hudud.
Ahmad Marzuk Shaary [Bachok] minta Perdana Menteri menyatakan jumlah kes dan kos petisyen pilihan raya yang ditolak sejak Pilihan Raya Umum 1959 hingga kini. Nyatakan apakah usaha dan jaminan Kerajaan bahawa mahkamah pilihan raya bebas daripada campur tangan politik.
Datuk Takiyuddin Hassan [Kota Bharu] minta Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan menyatakan apakah langkah berkesan Kerajaan untuk memupuk sikap cinta dan cakna kepada kebersihan di kalangan rakyat dengan mengubah minda mereka supaya tidak meletakkan tugas
menjaga kebersihan ini semata-mata kepada Pihak Berkuasa Tempatan.
Nasrudin Hassan [Temerloh] minta Menteri Pendidikan menyatakan mendedahkan hasil kajian penyalahgunaan dadah di Institusi Pengajian Tinggi Awam di Malaysia.
Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali [Kuala Nerus] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan statistik golongan muda di Terengganu yang terlibat dalam bidang keusahawanan.
Dr. Mohd Hatta Md. Ramli [Kuala Krai] minta Menteri Kewangan menyatakan apakah bantuan seperti BR1M akan diberikan kepada golongan berpendapatan pertengahan yang terkesan dengan peraturan memendekkan tempoh bayaran balik pinjaman rumah dan kenderaan dan kini berdepan dengan kenaikan harga petrol dan harga barangan keperluan lain.
Siti Zailah Mohd Yusoff [Rantau Panjang] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan jumlah statistik ibu tunggal di Malaysia mengikut negeri serta apakah pencapaian program khas untuk membangunkan ekonomi dan jati diri keluarga di kalangan ibu tunggal
seluruh negara.
Siti Zailah Mohd Yusoff [Rantau Panjang] minta Menteri Pengangkutan menyatakan apakah tindakan Kerajaan dalam mengatasi masalah kebanjiran kereta sewa dari Thailand (Roadthu) yang semakin berleluasa masuk beroperasi dalam negara kita yang menjejaskan pendapatan pemandu kereta sewa tempatan.
Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali [Kuala Nerus] minta Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah menyatakan perancangan semasa dan akan datang bagi pembangunan kawasan Kuala Nerus.
Dr. Che Rosli Che Mat [Hulu Langat] minta Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi menyatakan:-
(a) adakah pihak Kementerian mempunyai hasrat untuk membina kemudahan baru bagi menaik taraf kuasa reaktor nuklear penyelidikan di tapak sedia ada Agensi Nuklear Malaysia, Bangi; dan
(b) apakah prasyarat dan jarak selamat bagi pembangunan awam sekitar reaktor nuklear penyelidikan Agensi Nuklear Malaysia, Bangi.
Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz [Pasir Mas] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan peratus dan jumlah agihan peruntukan setiap tahun bagi bahagian belia dan bahagian sukan dari tahun 2010-2012.
Dr. Che Rosli Che Mat [Hulu Langat] minta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air menyatakan:-
(a) impak kepada tariff dan pengguna elektrik yang mengguna 300 kWh ke bawah terhadap penyelarasan harga gas asli yang dijual oleh PETRONAS kepada TNB; dan
(b) langkah-langkah meminimakan impak kepada pengguna awam atau persediaan supaya pengguna awam dapat menerima impak penyelarasan.
Datuk Mahfuz Omar [Pokok Sena] minta Menteri Kewangan menyatakan jumlah wang yang dilabur melalui syarikat kaitan Kerajaan ValueCap Ventures Bhd dan nyatakan jumlah keuntungan bagi tiap-tiap tahun operasi sejak ianya ditubuh.
Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan jenayah tembak yang semakin berleluasa sekarang.
Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah [Kuala Terengganu] minta Perdana Menteri menyatakan adakah Kerajaan mengkaji laporan 8 Mei 2013 "Resource Governance Index" (R.G.I.) oleh Revenue Watch Institute sebuah NGO antarabangsa yang mempromosikan keberkesanan, keterbukaan dan akauntabiliti pengurusan sumber asli yang meletakkan Malaysia di tempat 34 dari 58 negara dengan markah 46 dari 100 dan apakah langkah-langkah Kerajaan untuk memperolehi prestasi yang lebih baik.
Dr. Izani Husin [Pengkalan Chepa] minta Menteri Pendidikan menyatakan sejauh manakah perkembangan-pembangunan Universiti Malaysia Kelantan (Pengkalan Chepa, Padang Tembak, Bachok dan Jeli). Berapakah peruntukan yang telah dibelanjakan dan berapakah yang diperlukan untuk menyiapkan sepenuhnya pembangunan universiti ini.
No comments:
Post a Comment