Tuesday, September 10, 2013

NGO gelar Zahid ‘menteri acah’

September 10, 2013
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar) didakwa sebagai 'Menteri Acah' ekoran tindakannya yang sering mengacah-acah dalam tindakannya tetapi tidak membuat tindakan sebenar, seperti cakap tidak serupa bikin.

Gelaran ini diberikan Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul HIsham Shahrin atau Che'gu Bard berikutan satu lagi acahan dibuat Menteri Dalam Negeri itu semalam.
Semalam Zahid membuat kenyataan akan mendedahkan ahli politik terbabit kongsi gelap.

 "Ini bukan acahan pertama Zahid. Nampaknya strategi acahan ini menjadi skill politiknya sejak dahulu lagi," kata Badrul dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, ramai masih tidak lupa ketika Zahid menjadi Menteri Pertahanan, pernah menyatakan akan menamakan ahli politik (dengan menggambarkan PR) yang menjadi dalang pencerobohan Sulu.
Katanya, pengumuman itu kerap diulang dan menjadi bahan kempen pilihan raya tetapi sehingga kini masih tiada pendedahan siapa ahli politik yang dimaksudkannya.

"Zahid ternyata bersalah kerana melindungi maklumat pengkhianatan negara maka Zahid juga boleh jadi pengkhianat, atau kenyataan sedemikian hanya taktik propaganda 'acahan' semata-mata," katanya.

Selaku Menteri Dalam Negeri, katanya, Zahid juga sebenarnya hilang kredibiliti kerana dirinya pernah menggambarkan terlalu banyak jenayah berlaku sehingga majlis rasmi di kawasannya ada kongsi gelap hadir dan minta wang perlindungan.
"Adakah Zahid takut dengan pengutip wang perlindungan kerana rahsia penipuan pilihan raya di tangan kongsi gelap atau ia hanya cerita yang sengaja diada-adakan untuk menyakinkan rakyat bahawa jenayah sudah tidak terkawal maka ISA dan perbagai undang-undang kuno boleh dikembalikan," katanya.

Beliau berkata, Zahid juga pernah mengacah kononnya sanggup ke mahkamah Perancis untuk jadi saksi tetapi kemudian memberikan alasan membazir untuk tidak ke sana.
Katanya, rakyat juga tidak lupa bagaimana dia mengacah konon menjadi hero reformasi melawan Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi akhirnya menikus selepas keluar dari Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Zahid dikaitkan dengan kes pukul atau cubaan bunuh seorang pemuda dan akhirnya kes itu disenyapkan.
"SAMM memperolehi salinan video dan buku berkenaan kes itu dan akan mencetak sebanyak 10,000 naskhah untuk tontonan awam bagi mendesak penjelasan," katanya.

SAMM juga, katanya, mendesak pemuda itu diberi ruang media bagi memperkatakan kes tersebut.
"Persoalannya, bagaimana Zahid mampu menjadi menteri yang menjaga keselamatan rakyat sedangkan diri sendiri terpalit tuduhan jenayah," katanya. - 10 September, 2013.
The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment