Harakahdaily
| Salmiyah Harun, | 26 Sep 2013 |

KUALA LUMPUR: PAS mendesak kerajaan negeri itu menghentikan projek penambakan muara Sungai Terengganu sehingga kajian hidraulik dibuat sepenuhnya.
Raja Datuk Bahrain Shah (PAS-Kuala Terengganu) berkata, kerja-kerja penambakan dijalankan setelah kajian kesan Alam Sekitar dan kajian hidraulik dilaksanakan.
Tambahnya, setelah kontraktor yang dilantik secara reka dan bina tanpa ada tawaran terbuka kepada pemborong akhirnya kerja-kerja telah dimulakan tanpa kajian 'hydraulic study' terperinci diluluskan.
Malah perkara ini katanya turut diperakui oleh perunding jurutera pakar hidraulik yang mengingatkan kerja penambakan seterusnya hanya boleh dijalankan selepas kajian terperinci alam sekitar dan kajian terperinci hidraulik diluluskan.
"Kebiasaannya kerja-kerja di dalam sungai dijalankan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tetapi projek Sungai Terengganu ini dijalankan bawah Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Ini adalah satu keadaan luar biasa di mana jabatan yang sepatutnya dipertanggungjawabkan tidak ditugaskan mengawas dan mengendalikan projek tersebut," katanya dalam sidang media di parlimen hari ini.
Dalam perkembangan yang sama Dr Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) melahirkan kebimbangan sekiranya projek itu diteruskan akan menjejaskan penduduk sekitar Sungai Terengganu termasuk bot-bot penambang di Seberang Takir.
Malangnya kata beliau, cara pengendalian projek ini mungkin meletakkan bukan sahaja penduduk Kuala Terengganu bahkan Kuala Nerus dalam bahaya jika kerja-kerja penambakan ini menyebabkan banjir berlaku pada musim tengkujuh.
"Ini bukan libatkan soal harta sahaja bahkan mungkin akan membabitkan nyawa penduduk apabila tibanya musim tengkujuh dan bertembung dengan air pasang akan menyebabkan banjir besar," katanya.
Justeru, beliau amat kesal apabila jabatan yang pakar dalam hal sungai iaitu JPS tidak diberi tanggungjawab sepatutnya dalam kerja-kerja dalam Sungai Terengganu.
Pada tahun 2012 kerajaan telah menganugerahkan secara reka bina kepada sebuah syarikat pemborong untuk menjalankan kerja-kerja penambakan tanah tanpa tawaran terbuka.
Menurut JPS dalam suratnya bertarikh 4 September 2013 kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu mengesahkan JKR dilantik sebagai pengarah projek.
Malangnya kata beliau, cara pengendalian projek itu mungkin meletakkan penduduk Kuala Terengganu dalam bahaya jika kerja-kerja penambakan itu menyebabkan banjir berlaku pada musim tengkujuh.
No comments:
Post a Comment