Kadar
sewa yang dikenakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kepada
penyewa kompleks itu masih berpatutan dan jauh lebih rendah jika
dibandingkan dengan pusat membeli-belah komersial yang lain .
Ketua Unit Pelaburan dan Pengurusan Hartanah PKNS, Fakru Radzi Ab
Ghani, berkata Kompleks PKNS adalah satu usaha menggalakkan peniaga
Bumiputera untuk memperkasakan taraf ekonomi mereka.
"Kira-kira 85 peratus penyewa di bangunan ini adalah Bumiputera dan
sewa yang dikenakan masih munasabah iaitu 40 hingga 50 peratus jauh
lebih rendah berbanding nilai pasaran semasa,” katanya dalam satu
kenyataan semalam.
Sementara itu, peniaga barangan runcit, Zainab Zainal Abidin, 62,
berkata, sewa PKNS masih mampu ditanggung sambil menyatakan keyakinan
perbadanan itu tidak akan menyisihkan kaum Bumiputera.
"Saya sudah berniaga di sini hampir 30 tahun dan saya berpuas hati
dengan kadar sewa yang dikenakan kerana amat berpatutan jika
dibandingkan dengan tempat membeli-belah yang lain," katanya.
Wan
Abdullah Wan Ahmad, 48, berkata, PKNS banyak membantu daripada segi
mempertingkat taraf ekonomi Bumiputera sambil menyatakan kesyukuran
diberi peluang untuk berniaga di kompleks itu.
Katanya, PKNS diharapkan dapat segera menaik taraf kemudahan di
kompleks itu supaya lebih ramai pengunjung yang datang dan membeli-belah
dalam keadaan lebih selesa.
"Di sini tempat saya mencari rezeki, PKNS sentiasa memberi peluang
kepada peniaga. PKNS turut membantu kami mempromosikan kompleks ini
kepada pengunjung," katanya.
Fakru Radzi berkata, PKNS akan menjalankan kerja penambahbaikan dan
menaik taraf kemudahan Kompleks PKNS Shah Alam bermula Oktober depan
bagi keselesaan peniaga dan pengunjung kompleks.
Katanya, PKNS menerusi anak syarikatnya PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC)
akan merancakkan lagi aktiviti mempromosikan pelbagai program bagi
menarik lebih ramai orang awam untuk membeli-belah di Kompleks PKNS.
"Pada masa sama ia dapat membantu meningkatkan pendapatan peniaga di
kompleks yang keseluruhannya adalah peniaga Bumiputera," katanya. - 18
September, 2013.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment