BN dikatakan guna pendekatan Jentera
Barisan Nasional (BN) mengambil pendekatan menumpang populariti bekas
Menteri Besar Kedah, allahyarham Tan Sri Azizan Razak untuk meraih
sokongan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.
Sungai Limau yang dianggap sebagai kubu kuat PAS sejak 1995 menyebabkan
parti pemerintah BN terpaksa menukar taktik "berlembut" pada pilihan
raya kali ini.
Hari ini kempen di Sungai Limau secara rasminya membuka tirai selepas selesai penamaan calon pagi semalam.
Tinjauan hari pertama semasa ceramah berkelompok yang berlangsung di
pusat daerah mengundi Sungai Limau mendapati penceramah BN memuji dan
menghargai ketokohan allahyarham Azizan semasa mentadbir Kedah.
"Kita lihat kebijaksanaan arwah ustaz Azizan hendak tutup pusat hiburan
di Alor Setar sebab menghormati bulan Ramadan tapi Karpal Singh dan DAP
tentang.
"Ustaz tak melatah tapi cerdik, takpa, boleh on tapi malam sahaja siang
tak boleh," kata Pengerusi Tetap Umno Bahagian Pendang, Fuzin Hamid
ketika menyampaikan ceramahnya.
Pendekatan BN kali ini dilihat sebagai usaha untuk memancing masyarakat
Sungai Limau yang kebanyakannya adalah sanak-saudara kepada bekas
menteri besar tersebut.
Kedah semasa di bawah pentadbiran PAS mencetuskan kontroversi dan
menerima kritikan hebat terutamanya dalam isu pusat hiburan serta
larangan pakaian menjolok mata semasa persembahan sambutan Tahun Baru
Cina di negeri tersebut.
Malah penganalisis juga tidak menolak faktor rangkaian kekeluargaan
Azizan di Sungai Limau sebagai punca BN gagal merampas DUN itu sejak
lima penggal kerusi tersebut disandang PAS.
Sementara itu, isu Syiah juga kedengaran pada kempen kali ini apabila
penceramah BN memberi amaran tentang bahaya ajaran tersebut kepada
masyarakat Islam-Melayu khususnya di Kedah.
"Kerajaan Kedah berdepan dengan bala yang cukup besar iaitu Syiah.
"Di tempat saya, Pendang ini banyak Syiah. Bila enakmen anti-Syiah
dibuat, 9 pemimpin PAS tidak sokong sebab mereka sokong Syiah kot," kata
Fuzin.
Ogos lalu, sidang DUN Kedah meluluskan satu undang-undang di bawah
Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah bagi membolehkan penguatkuasaan
diijalankan untuk membanteras ajaran Syiah di negeri itu.
BN kali ini memulakan kempen mereka secara "underdog" apabila mengambil pendekatan bertahan pada PRK Sungai Limau.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang
medianya berkata, BN mengakui cabaran besar dihadapi calonnya, Dr
Sohaimi Lazim kerana Sungai Limau adalah kubu kuat parti Islam tersebut.
"Cabaran kali ini pasti lebih besar akan dihadapi BN di sini.
"Tetapi kalau perbandingan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu,
kita tewas dengan majoriti yang tidaklah besar. Jadi tidak mustahil kita
melakukan (menang) sesuatu di sini," katanya yang juga Timbalan
Presiden Umno itu.
PRK DUN Sungai Limau diadakan berikutan kematian Azizan, yang juga
penyandang kerusi itu sejak pilihan raya umum 2004, pada 26 September
lalu.
PRK DUN Sungai Limau menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara
calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, menentang calon PAS, Mohd Azam Abd
Samat, 37. - 24 Oktober 2013.
No comments:
Post a Comment