Penantian saya terhenti apabila bunyi deruan enjin sebuah motosikal memasuki ruang parkir sebuah hotel.
Tepat jam 5 petang, orang yang dinanti tiba seperti dijanjikan dengan
mengenakan kemeja lengan pendek biru muda dan berseluar hitam namun
motosikalnya diletakkan jauh tidak seperti orang kenamaan lain yang mahu
mendapat ruang utama.
Setelah memesan minuman, personaliti ini Tan Sri Musa Hassan (gambar)
selesa menceritakan penambahbaikan yang dilakukannya semasa menjawat
jawatan Ketua Polis Negara.
“Mereka menggunakan keganasan dan mewujudkan kumpulan kongsi gelap
untuk menjaga kegiatan mereka supaya kawasan mereka tidak diganggu oleh
pihak lawan.
“Masalah jenayah dalam negara boleh dikurangkan sekiranya setiap agensi
kerajaan memainkan peranan mereka seperti memastikan pelajar asing yang
datang ke negara ini belajar dan perkara ini di bawah bidang kuasa
Kementerian Pendidikan,” katanya kepada The Malaysian Insider dengan
nada tenang dan kata yang tersusun.
Beliau turut melahirkan kekesalan apabila aktiviti penjenayah mendapat
sokongan orang yang berkepentingan dalam negara kerana menurutnya hal
ini menyukarkan pihak polis kerana tidak dapat mengambil tindakan tegas
disebabkan sokongan tersebut.
Katanya, semasa memimpin pasukan polis, beliau amat menitik-beratkan
integriti dan cuba memperbaiki pasukan polis setelah laporan Suruhanjaya
Aduan dan Penambahbaikan Pasukan Polis (IPCMC) mendapati polis banyak
terlibat dengan rasuah.
“Ini kerana jika polis mempunyai integriti yang tinggi, mereka tidak
akan mengambil rasuah dan bekerjasama dengan mereka yang melanggar
undang-undang.
“Saya juga telah memohon kepada kerajaan untuk menambah bilangan balai
polis dengan menyewa rumah kedai bagi mewujudkan balai polis yang dekat
dengan masyarakat serta memudahkan pihak polis mengenal pasti kawasan
bintik panas untuk mencegah jenayah dengan lebih berkesan.
“Selain itu, saya telah meminta seramai 60,000 anggota polis ditambah
kerana polis melakukan pelbagai tugas seperti mencegah jenayah, mengawal
sempadan negara dan lain-lain. Ini juga bagi menampung anggota di
bahagian narkotik dan unit risikan,” katanya setelah meneguk sedikit teh
kurang manis yang dipesan sebentar tadi.
No comments:
Post a Comment