PAS
sentiasa tampil bakat muda, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.
Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 3 Oktober, 2013.Pemimpin
kanan PAS menafikan dakwaan parti itu tidak menampilkan bakat
kepimpinan muda, malah memberikan bayangan kemungkinan ketiga-tiga
pemimpin teratas parti dalam Pakatan Rakyat (PR) tidak lagi akan beraksi
pada pilihan raya umum akan datang.
Naib Presidennya, Salahuddin Ayub, berkata tiada pemimpin yang akan
menongkat dunia dan PAS akan terus melahirkan kepimpinan baru
menggantikan posisi Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan
Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), saya yakin kita tidak lagi
menyaksikan Abdul Hadi; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Umum PKR,
Datuk Seri Anwar Ibrahim mewarnai pilihan raya tersebut.
"PAS sendiri banyak melahirkan pemimpin melalui Dewan Pemuda dan boleh
dikatakan 80% kepimpinan parti pada masa ini datangnya daripada sayap
itu.
"Dakwaan mengatakan PAS tidak melahirkan bakat kepimpimpinan muda
adalah tidak benar kerana terbukti Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin
Hasan adalah Ahli Parlimen Temerloh dan orang nombor duanya, Nik Mohamad
Abduh Nik Abdul Aziz adalah Ahli Parlimen Pasir Mas," katanya ketika
menghadiri forum "Survival PAS dalam arena politik Malaysia" yang
diadakan di Kuala Lumpur malam tadi.
Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kayat bercanggah
dengan pendirian Salahuddin apabila berkata PAS kurang menampilkan bakat
kepimpinan muda dalam parti sambil meminta ruang yang lebih besar
diberikan kepada sayap parti itu.
Katanya, Dewan Pemuda PAS masih kurang menjuarai isu berkaitan rakyat
tetapi menggesa orang ramai turut melihat sumbangan sayap itu di
peringkat parti dan pembangunan negara.
"Kegagalan PAS menampilkan bakat kepimpinan muda menyebabkan banyak
golongan muda yang berbakat meninggalkan PAS untuk menyertai parti lain
atau lebih senang untuk bergerak dalam badan bukan kerajaan (NGO).
"Istilah yang digunakan PAS dilihat terlalu eksklusif seperti usrah,
tamrin, muqayyam dan lain-lain memberi jurang kepada generasi muda
menyertai PAS.
"Meskipun Dewan Pemuda tidak memainkan peranan yang begitu ketara
tetapi penubuhan seperti Unit Amal yang mempunyai ahli seramai 2,000
orang sentiasa bersama dalam memenuhi kebajikan dan mendengar
keluh-kesah rakyat," katanya ketika diminta oleh sidang forum untuk
membela sayap parti itu.
Pengarah Eksekutif Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad.Sementara
itu, Pengarah Eksekutif Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata
parti yang mengamalkan kesederhanaan dan masih berada di pusat politik
tanah air akan memenangi PRU14.
Katanya, kesederhanaan Pakatan Rakyat (PR) dan menjadi tumpuan pengundi
adalah selari dengan prinsip Islam maka menurutnya pemimpin PAS tidak
perlu berpura-pura memenangi hati rakyat.
"Politik Malaysia adalah sesuatu yang kompleks dan Islam sendiri
menganjurkan kesederhanaan yang bukan satu ideologi ciptaan PAS.
"Usaha Umno untuk memecahkan parti dalam PR tidak berjaya apabila
pengundi Cina kini tidak lagi takut untuk mengundi PAS dan anak muda
Melayu tidak segan silu menjulang bendera DAP.
"PAS akan terus menjadi badan pemantau dalam PR bagi memastikan usaha
menumbangkan Umno-BN pada PRU14 berjaya. Setelah perjalanan sejauh ini,
PAS tidak lagi akan kembali kepada kebobrokan politik sebagaimana yang
berlaku sebelum ini," katanya. – 3 Oktober, 2013.
The Malaysian Insider
semoga Malaysia terus maju jaya.
ReplyDelete