Friday, October 25, 2013

Hilang aset RM1.33 juta, PAC panggil KDN beri penjelasan

Oleh Mohd Farhan Darwis
October 24, 2013
Berikutan pendedahan Laporan Audit Negara 2012 berkenaan kehilangan aset Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bernilai RM1.33 juta, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memberikan penjelasan.

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed (gambar), berkata perkara itu perlu bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pasukan keselamatan berkenaan.
"Tarikhnya belum ditetapkan lagi," kata Nur Jazlan pada sidang media di Parlimen, tengah hari tadi.

 Ahli Parlimen Pulai itu berkata, langkah itu dibuat bagi membolehkan KDN menjelaskan dengan menyeluruh langkah dan tindakan yang mereka ambil bagi membendung perkara itu daripada berulang.
"Ia isu yang heboh diperkatakan rakyat. Walaupun pada saya jumlah RM1.33 juta itu kecil, namun ia isu keyakinan rakyat kepada anggota polis.

"Elok juga KDN memberikan penjelasan mereka," katanya.
Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendedahkan terdapat kehilangan senjata api, gari, dan kenderaan dalam pasukan polis.
Pendedahan itu menimbulkan respon negatif pelbagai pihak yang turut mempertikaikan keupayaan pasukan keselamatan berkenaan mengawal ketenteraman awam kerana berlakunya kehilangan harta benda mereka sendiri. 

Ketika mengulas laporan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak menolak kemungkinan senjata api berkenaan "terjatuh dalam laut semasa operasi".
Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam laporannya berkata, berdasarkan statistik kehilangan aset yang dikeluarkan Bahagian Pengurusan Aset, Jabatan Logistik, PDRM daripada 2010 hingga 2013 mendapati aset yang paling banyak hilang adalah gari dengan sejumlah 156 unit, diikuti senjata api dan kenderaan dengan masing-masing sebanyak 44 dan 29 unit.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam jawapan bertulis di Parlimen sebelum ini bagaimanapun tidak menyatakan "terjatuh ke dalam laut" menjadi punca kehilangan senjata api polis, sebaliknya terdapat lima faktor lain menyebabkan kehilangan tersebut.
Ahmad Zahid dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang menjelaskan, antara punca kehilangan senjata api berkenaan termasuklah kenderaan polis dipecah dan senjata api tertinggal di dalam kereta, diragut atau disamun, tercicir semasa menjalankan tugas, kehilangan dalam tandas, dan juga kehilangan dalam pejabat.

"Daripada 44 senjata api yang hilang berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2012, tujuh daripadanya dijumpai," kata Ahmad Zahid dalam jawapan bertulisnya di Parlimen.
"Secara keseluruhannya, kategori senjata api yang hilang adalah daripada senjata ringan (pistol dan revolver) yang boleh diletakkan di badan," katanya. – 24 Oktober, 2013. The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment