Gambar
fail menunjukkan umat Islam membaca al-Quran sementara menanti
keputusan mahkamah berhubung kes kalimah Allah di Istana Kehakiman
Putrajaya bulan lalu. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
Melayu-Islam bersedia menerima apa sahaja keputusan mahkamah esok
berhubung penggunaan kalimah "Allah" oleh bukan Muslim dan tidak akan
menggunakan kekerasan sekiranya mahkamah membenarkan penerbitan Katolik
The Herald menggunakan kalimah Arab itu sebagai rujukan kepada Tuhan
mereka.
Bagaimanapun, mereka tetap akan hadir di Istana Kehakiman di Putrajaya
pada 14 Oktober bagi menyuarakan solidariti memperjuangkan penggunaan
perkataan eksklusif untuk agama Islam, yang merupakan agama rasmi bagi
negara ini.
"Kita akan berada di sana dari pagi. Dari Perkasa kita jangka 1,000
orang akan turut serta sehingga selesai keputusan dibuat," kata
Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali kepada The Malaysian
Insider baru-baru ini.
Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hassan Ali, berkata mereka akan
turut sama bersolidariti di mahkamah pada hari itu, namun menolak untuk
menggunakan kekerasan sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada Gereja
Roman Katolik.
"Kita akan gunakan kaedah lain sekiranya mahkamah tidak memihak kepada kita," katanya.
Beliau berkata, kekerasan bukan fokus utama sekiranya mereka tewas dalam kes berkenaan.
"Saya memberi jaminan Jati tidak akan terlibat dengan insiden keganasan," katanya.
Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) turut bersama rakan NGO yang lain untuk menolak kekerasan sekiranya gagal di mahkamah.
"Kami tidak bertolak ansur dengan keganasan," kata Pengerusi Pembela, Dr Yusri Mohamad kepada The Malaysian Insider.
Beliau berkata, keputusan di peringkat rayuan akan dilakukan sekiranya gagal di mahkamah.
"Kita minta pelindungan keganasan seperti itu daripada berlaku. Kita
harap perkara itu tidak berlaku. Kita menasihati supaya tiada yang
bertindak di luar undang-undang.
"Kita tentang sebarang tindakan melampau batasan undang-undang.
Perjuangan kita berlandaskan ruang undang-undang selari dengan agama
Islam," katanya.
Semalam PAS sekali lagi menegaskan penganut agama bukan Islam tidak
harus disekat daripada menggunakan kalimah Allah dalam mengamalkan
kepercayaan mereka namun penggunaan tersebut tidak harus disalahguna
atau disalah tafsir.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tiada peruntukan
undang-undang yang tidak membenarkan kaum lain menggunakan kalimah Allah
namun kebebasan yang diberikan tidak harus disalahgunakan kerana Allah
adalah satu-satunya tuhan yang layak disembah bagi umat Islam.
“Kita tidak boleh melarang penganut bukan Islam untuk melaksanakan
suruhan agama mereka kerana manusia seharusnya mempunyai kepercayaan
terhadap tuhan.
“Kalimah Allah dalam perkataan Arab tidak boleh diterjemah ke dalam
bahasa lain kerana tidak sama dengan perkataan ‘tuhan’. Oleh kerana
itulah kalimah Allah itu sangat suci,” katanya ketika ditemui pemberita
di Universiti Selangor hari ini.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui khutbah Jumaat
baru-baru ini menggesa umat Islam bersatu-padu mempertahankan penggunaan
kalimah Allah daripada disalahgunakan sempena keputusan kes tersebut
yang akan didengar di Mahkamah Rayuan Isnin ini.
Jakim berkata, sebagai umat Islam yang patuh kepada ajaran agama adalah
perlu untuk bersatu-padu demi menolak apa jua usaha yang menafikan hak
sebagai umat Islam.
Katanya, wajib bagi umat Islam menjaga dengan cara yang terbaik dan
sekiranya terdapat unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah
tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang
termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. – 13 Oktober, 2013. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment