
KENYATAAN MEDIA | 24.10.2013
OLEH GABUNGAN KELAB PENYOKONG KEDAH DARUL AMAN
MAKLUMAT TERKINI PASUKAN HIJAUKUNING HASIL DARI PERTEMUAN ANTARA WAKIL GABUNGAN DAN PERSATUAN BOLASEPAK KEDAH (KFA)
Seperti yang semua penyokong hijaukuning sedia maklum, satu mesyuarat
telah berlangsung antara wakil gabungan kelab penyokong Kedah dan
Setiausaha Kehormat KFA, En. Aminuddin Omar dan juga di sertai oleh
Pengurus Pasukan Kedah, Dato' Jeffrey Low Han Chow dan Penolong
Pengurus, En. Amirul Nizam Mahdzir di Darulaman Golf Resort jam 5:00
petang semalam.
Hasil dari sidang meja pertemuan, pihak KFA telah menjelaskan beberapa
isu berdasarkan tuntutan-tuntutan gabungan kelab penyokong melalui
kenyataan media 14 Oktober lepas. Walaupun tidak semua isu dapat
diputuskan atau mendapat penjelasan yang lebih meyakinkan, penjelasan
dari pihak KFA telah merungkai beberapa isu.
Penjelasan pihak KFA berkenaan tuntutan/desakan kami adalah seperti berikut:
1. MENDEDAHKAN SEGERA PERANCANGAN PASUKAN DARI PEMILIHAN JURULATIH DAN PEMAIN TEMPATAN DAN IMPORT KEDAH UNTUK MUSIM 2014;
Isu Jurulatih:
Seperti makluman KFA sendiri dalam beberapa media cetak sebelum ini di
ruangan sukan Sinar Harian dan Harian Metro tempoh hari, KFA sedang
menunggu kata putus dari pengurusan pasukan Barclays Liga Premier,
Cardiff City FC. Pemilik kelab tersebut, Tan Sri Vincent Tan sendiri
akan menguruskan perlantikan jurulatih dari kelab tersebut untuk
mengemudi pasukan Kedah.
Isu Pemain Import:
Pihak gabungan juga dimaklumkan pemain import pasukan Kedah untuk musim
2014 turut mendapat sentuhan Cardiff City FC. Pemain import yang akan
dipilih nanti adalah dari pasukan utama dan juga berkemungkinan dari
skuad simpanan kelab itu. Difahamkan slot pemain import Asia juga bakal
dipilih dari kelab Cardiff City FC yang akan melibatkan beberapa pilihan
pemain berasal dari Jepun, Korea atau Timur Tengah.
Usaha ini akan diamanahkan kepada Pengurus Pasukan, Dato' Jeffrey Low
Han Chow dan En. Amirul Nizam untuk memilih pemain import yang
dimaksudkan. Difahamkan kedua-dua mereka akan dihantar ke kelab Inggeris
tersebut bagi melihat sendiri pemain yang sesuai dalam masa terdekat.
Esok, Setiausaha Kehormat KFA sendiri akan membuat panggilan susulan
untuk mendapat maklumbalas pihak Cardiff City FC berkenaan jurulatih dan
pemain import bagi mendapat pengesahan seterusnya.
KFA juga memberi jaminan TEMPOH AKHIR 10 hari bermula Jumaat ini untuk
memutuskan sama ada usaha membawa tenaga kepakaran dari Cardiff City FC
ini akan diteruskan atau tidak. Jadi, tarikh akhir yang diberi oleh KFA
kepada pihak Cardiff City FC adalah sehingga 4 November ini dan jika
tiada maklumbalas yang meyakinkan, pihak KFA akan menggunakan alternatif
lain untuk mengisi slot jurulatih dan 3 pemain import sebelum
pendaftaran pemain ditutup 4 Disember ini. Tiada nama khusus dinyatakan
sebagai pelan kedua jika usaha membawa pemain Cardiff City FC tidak
berhasil petang tadi. Dimaklumkan niat untuk membawa pulang Marlon telah
dinyatakan secara lisan tetapi tiada tindakan susulan kerana Marlon
masih beraksi bersama ATM.
Isu Pemain Tempatan:
Menurut makluman Dato' Jeffrey, musim depan akan ada perubahan pada
senarai pemain tempatan kerana pemain sebelum ini dilihat tiada
keserasian ketika beraksi di atas padang. Jadi tindakan pengurusan untuk
musim hadapan adalah untuk memastikan pemain-pemain berpengalaman akan
diambil untuk menguatkan pasukan Kedah dan antaranya adalah pemain yang
pernah beraksi bersama Kedah sebelum ini ketika di era 2007-2008.
Isu Pengurus Pasukan:
Setiausaha Kehormat KFA turut mengesahkan Dato' Jeffrey dan En. Amirul
akan diberi mandat untuk mencari dan mengikat pemain tempatan berkualiti
bagi mengukuhkan pasukan Kedah musim hadapan. Turut disahkan Dato'
Jeffrey akan kekal sebagai Pengurus Pasukan Kedah di musim 2014. Selain
itu, tiada nama pemain tempatan yang didedahkan untuk makluman gabungan
kelab penyokong.
En.Amirul juga memaklumkan beliau memerlukan 2 minggu lagi untuk
menyenarai akhir skuad Kedah untuk musim hadapan. Jaminan beliau,
senarai nama penuh pemain tempatan pasukan Kedah di musim 2014 akan
dapat diketahui seawal 7 November ini. Beliau turut mengesahkan beberapa
pemain utama Kedah di musim 2013 ini turut berjanji untuk kekal bersama
skuad hijaukuning bagi musim 2014.
2. PERSATUAN BOLASEPAK KEDAH LEBIH PRO-AKTIF BUKAN SAHAJA DALAM
PENGURUSAN PASUKAN HIJAUKUNING TETAPI TURUT TIDAK KETINGGALAN DALAM
PENGURUSAN PENTADBIRAN PERSATUAN;
Isu Penajaan:
Setiausaha Kehormat KFA juga memaklumkan bajet pasukan keseluruhan tahun
ini mencecah RM9 juta iaitu kos perbelanjaan anggaran lebih kurang
RM600,00.00 sebulan. Itu hanya melibatkan gaji dan tidak termasuk
kos-kos berbangkit yang lain. Turut ditekankan bahawa komitmen Presiden
KFA tahun ini turut menjadi faktor utama penajaan pasukan dan mungkin
tahun hadapan akan melibatkan penaja besar lain selain dari PKNK. Tetapi
tiada makluman lanjut berkenaan penaja tersebut. Beliau turut menambah
iniadalah usaha peribadi Presiden KFA untuk memastikan pasukan
hijaukuning tidak kurang dengan penajaan pihak swasta.
Isu Program Pembangunan:
KFA akan turut menekankan usaha pembangunan peringkat akar umbi. Akademi
akan diwujudkan melibatkan pemain U12, U14, U16 mengikut struktur dan
acuan Akademi Cardiff City FC. Masih peringkat pelan tindakan untuk
dilaksanakan.Ini bagi memastikan pelapis pemain muda Kedah yang berbakat
agar dapat menabur bakti suatu hari nanti bersama skuad utama Kedah.
Pelan pembangunan juga turut memberi kesan kepada pemain muda berbakat
Kedah berumur 20-25 tahun, pasukan Kedah juga akan terus diperkukuhkan
melalui usaha KFA mengikat pemain ini dalam jangka masa panjang dan
tidak sewenang-wenangnya mereka ini keluar dari pasukan Kedah.
Setiausaha Kehormat KFA sendiri selaku Exco Belia & Sukan Negeri
Kedah telah mengarahkan pihak Majlis Sukan Negeri Kedah untuk
melaksanakan kembali Sukan Kedah (SUKDA) dan Sukan Daerah untuk
mencungkil bakat-bakat terpendam dalam bidang sukan terutamanya
bolasepak yang akan dilaksanakan tahun 2014.
Isu infrastruktur Stadium Darul Aman:
Perancangan jangka panjang untuk menaik taraf infrastrktur Stadium Darul
Aman seperti surau, bilik persalinan pemain dan sebagainya. Turut
ditekan sistem apprentis yang akan dihebahkan tetapi tidak diperincikan
kepada wakil gabungan bagaimanakah sistem apprentis tersebut akan
dijalankan.
3. INDIVIDU-INDIVIDU TERTENTU DALAM PENTADBIRAN KFA MELETAK JAWATAN;
4. MENYIASAT UNSUR PENYELEWENGAN DALAM KFA.
Isu Individu Yang Culas:
Setiausaha Kehormat KFA berjanji untuk melihat perkara ini dengan serius
dan mengambil tindakan sewajarnya tetapi desakan ini tidak dilaksanakan
dalam masa terdekat. Tempoh yang singkat dan kesibukan suasana tempatan
membataskan satu mesyuarat dijalankan bagi membincangkan isu ini. Ini
bagi memberi laluan kepada Piihanraya Kecil (PRK) DUN Sg. Limau kerana
ketika ini masa amatlah terhad dan kepentingan lain menjadi keutamaan
pihak kerajaan negeri. Beliau sedia maklum dengan isu-isu yang
dibangkitkan oleh pihak gabungan kelab penyokong berkenaan dengan sikap
pegawai tertentu yang perlu mendapat perhatian serius untuk menyiasat
aduan penyokong hijaukuning. Walaubagaimanapun beliau menekankan hanya
dapat menjalankan siasatan aduan tersebut sekadar mampu mengikut bidang
kuasa beliau sebagai Setiausaha Kehormat KFA. Jaminan beliau perkara ini
akan diselesaikan dalam masa terdekat untuk memuaskan hati semua pihak.
Beliau juga turut berjanji untuk mengambil tindakan tegas jika ada asas
aduan oleh gabungan kelab penyokong hijaukuning. Apapun mesyuarat akan
diadakan bagi membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut selepas PRK
nanti.
RUMUSAN PERTEMUAN DAN TINDAKAN KAMI:
Pihak Gabungan Kelab Penyokong Kedah menerima penjelasan KFA dengan hati
terbuka tetapi tidak berpuas hati dengan beberapa aspek dimana sehingga
ke hari ini tiada pengesahan mengenai jurulatih dan pemain tempatan dan
import. Tempoh 1 bulan 10 hari untuk mempersiapkan pasukan adalah
tempoh yang singkat. Usaha yang dilakukan masih dalam peringkat awal dan
TEMPOH AKHIR yang diberikan sehingga 4 November ini (Isu Jurulatih Dan
Pemain Import) dan 7 November (Senarai Akhir Pemain Tempatan) ini akan
menjadi kayu pengukur setakat mana pasukan bersedia untuk menghadapi
musim 2014. Pihak kami akan terus mendesak dan terus memerhati bagi
memastikan tiada tangan-tangan ghaib yang mengacau persiapan pasukan
hijaukuning untuk musim 2014.
Justeru itu, pihak gabungan kelab penyokong Kedah tidak teragak-agak
untuk melakukan demo, bantahan dan kempen seterusnya jika tiada
perkembangan positif pasukan Kedah. Masa akan menentukannya. Tuntutan
kami akan diteruskan sehingga mendapat maklumbalas dan tindakan yang
wajar dari KFA.
SELAMATKAN BOLASEPAK KEDAH!
Kenyataan media ini oleh,
SAZALI SOBRI
Wakil Gabungan Kelab Penyokong
H/P: 013-5088848
No comments:
Post a Comment