Penganut
Kristian Sarawak tetap dengan pendirian untuk menggunakan kalimah Allah
dalam Bahasa Melayu daninjil bahasa tempatan serta dalam penerbitan
gereja walaupun Mahkamah Rayuan hari ini telah membuat keputusan
sebaliknya, kata Menteri Pembangunan Tanah negeri Tan Sri Dr James
Masing.
Masing menyifatkan keputusan penghakiman tersebut sebagai "tidak asli"
kerana asas penggunaan kalimah Allah wujud sebelum kedatangan Islam,
serta menegaskan keputusan mahkamah itu akan memberi kesan negatif
kepada bukan Muslim bukan hanya di Sabah dan Sarawak.
"Kami (Kristian di Sabah dan Saraawak) telah menggunakan kalimah Allah
sejak 100 tahun dahulu. Kenapa tiba-tiba kami tidak boleh gunakannya?
"Adakah mereka (Muslim) mempunyai mimpi mengatakan penganut Krisitian tidak boleh menggunakan kalimah Allah?" soal beliau.
"Rakan-rakan Muslim kami (di Sabah dan Sarawak) tidak pertikai kami gunakannya," katanya.
Masing juga mengingatkan penganut Kristian di Sarawak bahawa Ketua
Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada masa lalu telah menekankan isu
tersebut dan memberi jaminan tidak akan menghalang mereka daripada
menggunakan kalimah suci itu.
Ketua PKR Sarawak Baru Bian melahirkan rasa terkejut dengan keputusan
itu, namun menegaskan pihak gereja dan penganut Kristian di Sabah dan
Sarawak akan terus menggunakan kalimah Allah.
"Saya terkejut dengan keputusan itu.
"Kami telah memberi fakta jelas kami telah dijanjikan dengan jaminan
oleh nenek moyang dimana Sabah dan Sarawak membantu membentuk Malaysia.
"Keputusan ini bertentangan dengan hak asasi yang telah dijanjikan.
Keputusan ini sangat jelas bertentangan dengan perjanjian itu
(Malaysia)," ujarnya.
Baru, yang selama sedekad pernah memimpin Gereja Evangelical Kuching
selama sebelum menceburi politik, menegaskan keputusan tersebut
bertentangan dengan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan
individu untuk menganut dan menyebarkan agama kepercayaan mereka.
Baru juga percaya pihak gereja Katolik akan merayu keputusan yang
diumum hari ini, dan merayu penganut Kristian, yang merupakan majoriti
di kedua-dua negeri, untuk bertenang dan "melihat keseluruhan isu secara
rasional".
"Pasti ada rayuan kepada Mahkamah Persekutuan agar keputusan tersebut tidak muktamad."
Namun, gereja-gereja Kristian dibawah payung Persatuan Gereja di
Sarawak tidak membuat sebarang kenyataan sehingga mereka mempunyai
maklumat lanjut keputusan mahkamah tersebut.
"Kita perlu berunding dengan gereja-gereja yang lain terlebih dahulu,"
kata setiausaha agungnya Ambrose Linang, ketika dihubungi The Malaysian
Insider.
Pengerusi persatuan itu Datuk Bolly Lapok pada Sabtu lalu berkata
mereka "benar-benar tidak boleh diterima sekiranya amalan biasa bagi
orang Kristian di Sabah dan Sarawak untuk generasi, lebih daripada 100
tahun sebelum cadangan untuk bersama Malaysia, kini dianggap sebagai
menyalahi undang-undang oleh kerajaan".
Beliau berkata halangan daripada menggunakan kalimah Allah dalam amalan
agama mereka adalah sama seperti membendung kebebasan beragama.
Di luar mahkamah hari ini, naib presiden Perkasa Datuk Zulkifli Noordin
berkata Al-Kitab, iaitu versi Bahasa Malaysia kitab Injil, boleh terus
diedarkan di Malaysia.
Namun beliau mahu kitab tersebut supaya tidak menggunakan 32 istilah,
termasuk "Allah", yang dilarang kepada bukan Islam melalui enakmen Islam
di beberapa negeri.
"Saya tidak mempunyai masalah jika mereka mahu menerbitkan Al Kitab
tanpa istilah bukan saja 'Allah', tetapi 32 perkataan dalam Enakmen
Jenayah Syariah," kata Zulkifli kepada pemberita selepas pengumuman
keputusan itu.
Bekas timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa berkata, keputusan
Mahkamah Rayuan menunjukkan dengan jelas bahawa perkataan "Allah" adalah
eksklusif untuk umat Islam.
"Jadi, semua orang perlu berpegang kepada keputusan itu," kata Nasharuddin kepada pemberita.

- 14 Oktober, 2013.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment