Pekerja Nepal di Malaysia dieksploitasi, lapor akhbar Nepal
Pekerja Nepal dijanjikan pendapatan lumayan tetapi sebaliknya apabila tiba di Malaysia.Dianggarkan
sekitar 600,000 pekerja asing dari Nepal yang kini berada di Malaysia
dieksploitasi dan menerima bayaran terlalu rendah, lapor akhbar Nepal,
Republica.
Akhbar berkenaan memuat naik artikel bertajuk "Malaysia lebih teruk"
yang ditulis oleh Ishwar Rauniyar, wartawan bagi agensi berita BBC
menganggarkan terdapat 253 kes kematian melibatkan pekerja asing Nepal
di Malaysia sejak tahun lalu dan menjadikan negara ini "destinasi
kematian" untuk mereka datang bekerja.
"Mereka dijanjikan pekerjaan dengan pendapatan tetap, namun mereka menerima bayaran yang lebih rendah. Kadar kematian pekerja
Nepal di Malaysia juga tinggi. Dianggarkan 40,000 pekerja Nepal bekerja
secara haram di Malaysia akan dihantar pulang," kata laporan berkenaan.
Pendapat itu dikeluarkan selepas pekerja Nepal berusia 30 tahun
membunuh diri di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur bulan lalu akibat
dipinggirkan.
Menurut laporan, disebabkan bebanan hutang dan tindakan kerajaan
terhadap pekerja asing, pekerja Nepal itu bertekad menamatkan nyawanya.
Kematian itu menerima perhatian Tenaganita, badan bukan kerajaan yang
memperjuangkan hak dan nasib warga asing, dan menyeru kerajaan mengambil
berat permasalahan itu.
Bercerita pengalamannya bergaul dengan pekerja Nepal di Malaysia
beberapa tahun lalu, Ishwar yang menulis laporan ini berkata situasi
mereka "amat menyedihkan".
"Saya bertemu warga asing Nepal yang menunggu untuk dihantar pulang
oleh agen mereka. Nampak seperti ada orang bawa mereka ke lapangan
terbang dan majikan akan menjemput mereka.
"Mereka menghabiskan masa di atas lantai bangunan imigresen di Kuala
Lumpur. Ada yang sehingga berbulan. Mereka tidur di atas lantai tanpa
makanan dan air.
"Seorang yang saya paling tidak dapat lupa menghidap cirit-birit kerana
hanya meminum air paip. Dia menangis dan berkata jika tidak
diselamatkan dalam beberapa hari keluarganya hanya akan menerima
mayatnya."
Kedutaan Nepal di Malaysia jelas Ishwar tidak mengetahui berkenaan
perkara itu semasa beliau memaklumkannya kepada pihak kedutaan.
"Dalam tempoh dua minggu di Malaysia, saya bertemu beberapa warga asing
Nepal yang menunggu untuk diselamatkan. Ada yang bersembunyi di dalam
hutan dan yang masih bekerja di lapangan untuk membolehkan mereka
mendapatkan sumber pendapatan supaya mampu membayar hutang."
Beliau berkata situasi warga asing Nepal di Malaysia dan beberapa
negara Teluk amat menyedihkan yang mana negara pembekal dan penerima
gagal menguruskan pekerja asing sedangkan mereka beroleh "manafaat
besar" daripada pekerja berkenaan.
Berdasarkan kajian, beliau berkata pekerja asing cenderung ditipu 16 kali sepanjang perjalanannya ke destinasi pilihan.
Ia bermula dengan “ah long” di kampung mereka kemudiannya syarikat sumber manusia sehingga ke destinasi terakhir.
Berdasarkan pengiraannya, seorang pekerja asing Nepal perlu membayar
Rs125,000 untuk ke Malaysia sedangkan jumlah sepatutnya hanyalah
Rs80,000.
Rakan Nepalnya cuba untuk menghubungi pejabat Ketua Pengarah Sumber
Manusia Nepal, Jabatan Tenaga Kerja Asing, termasuk Perdana Menteri
Nepal, namun tiada sebarang tindakan dilakukan.
"Bagaimana keadilan dapat ditegakkan untuk orang kebanyakan dalam
negara ini? Warga asing miskin menjadi mangsa kerajaan. Bukan sahaja
perlu membayar lebih, mereka juga tidak menerima kerja yang dijanjikan
dan gaji yang rendah," katanya.
Kerajaan Nepal jelasnya perlu memperuntukkan undang-undang buruh yang lebih baik termasuk mengkaji polisi sedia ada.
"Bukan negara penerima yang membayar penyelewengan, namun negara sumber
seperti Nepal membayar menggunakan darah rakyatnya," katanya.
Lebih 40,000 pekerja asing Nepal memenuhi ruangan pekerjaan setiap tahun, dengan 90% daripadanya bekerja di luar negara.
Secara purata, 1,6000 warga Nepal meninggalkan negara mereka setiap hari untuk bekerja di Teluk, Korea Selatan dan Malaysia.
Hasil pendapatan mereka di luar negara dengan jumlah 2.5 juta pekerja menghasilkan tukaran wang terbesar untuk negara.
Tahun lalu, pulangan mereka menerima sekitar RM14.3 bilion, hampir suku Keluaran Dalam Negara Kasar Nepal. – 6 Oktober, 2013.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment