PAS
mempertikaikan rasional kerajaan menaikkan harga minyak 20 sen seliter
sebelum ini ketika agensi-agensi kerajaan meneruskan kerja borosnya
membeli perkakasan yang jauh lebih tinggi daripada harga pasaran.
Untuk itu, PAS mencadangkan satu himpunan bantahan seumpama himpunan
Bersih dibuat bagi menunjukkan rasa tidak puas hati rakyat.
Jika tidak, budaya ketirisan ini akan berterusan dan rakyat akan
disuruh terus membayar lebih untuk menampung kos kehidupan untuk
membolehkan kerajaan Barisan Nasional (BN) terus berboros dalam
perbelanjaannya.
Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata,
ketirisan yang dilaporkan setiap tahun di Laporan Ketua Audit Negara
menunjukkan Malaysia memerlukan rasionalisasi perbelanjaan di dalam
semua jabatan kerajaan terlebih dahulu sebelum menghukum rakyat dengan
rasionalisasi subsidinya.
"Tidak adil buat kerajaan yang hanya tahu suruh rakyat membayar lebih
20 sen seliter untuk minyak yang menjadi keperluan harian bagi mencari
rezeki tatkala agensi-agensi kerajaan meneruskan kerja borosnya membeli
perkakasan yang jauh lebih tinggi daripada harga pasaran," kata Tuan
Ibrahim.
Bayangkan jam dinding yang berharga RM100 dibeli pada harga RM3,810
oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) menggunakan duit rakyat.
"Cukup kecil hati rakyat jikalau duit yang dijimatkan daripada
pengurangan subsidi minyak digunakan untuk pembelian-pembelian seperti
ini yang cukup menjengkelkan," kata Tuan Ibrahim.
Pada Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan yang berkata laporan
audit itu menunjukkan ketelusan pentadbiran negara, PAS berharap beliau
dapat menggunakan kepintaran beliau yang diwar-warkan beliau sendiri
untuk melihat bahawa ketirisan ini menandakan sistem perolehan kerajaan
telah rosak dijangkiti barah rasuah sehingga akarnya.
Di sini perlunya kerajaan BN melakukan rasionalisasi perbelanjaan
sebagai kemoterapi merawat barah sebelum memerah otak mereka menekan
rakyat untuk menampung perbelanjaan, tambah beliau.
"Persoalan yang berlegar di fikiran rakyat ialah kenapa tiada sebarang tindakan apabila setiap kali laporan audit dibentang.
"Ke mana perginya transformasi yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri yang sepatutnya membendung barah ini?" bidas beliau.
Bagi beliau, ternyata laungan transformasi Najib hanya slogan kosong.
"Kita yakin selagi BN menerajui negara, penyalahgunaan kuasa dan pengurusan sumber kewangan negara akan berterusan," katanya.
Pihak media boleh terus mengorek semua ketirisan yang telah berlaku,
tetapi sekiranya rakyat Malaysia terus mengambil sikap hangat-hangat
tahi ayam dalam soal ini, kerajaan BN akan terus bersikap acuh tidak
acuh pada laporan audit, tambah Tuan Ibrahim. – 2 Oktober, 2013.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment