Transparency
International Malaysia (TI-M) hari ini menggesa satu Suruhjaya Inkuiri
Diraya (RCI) bagi menyiasat Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan
pembekal elektrik negara Tenaga Nasional Berhad (TNB) ditubuhkan kerana
kemungkinan wujudnya penyelewengan.
Badan pemantau rasuah itu berkata, pendedahan oleh bekas Pengerusi
Eksekutif TNB, Tan Sri Ani Arope yang mengatakan semua keputusan
perjanjian pembelian tenaga dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad menimbulkan keraguan terhadap ketelusan perjanjian
tersebut.
"Dr Mahathir semasa menjadi perdana menteri dan mengetuai Unit
Perancangan Ekonomi (EPU) mempunyai kata putus dalam perjanjian yang
ditandatangani oleh TNB, perkara ini didedahkan oleh Ani dalam buku
terbarunya 'Memoirs of Tan Sri Ani Arope'.
"Walaupun tidak menyatakan secara khusus mengenai elemen rasuah tetapi
ia menunjukkan wujud kelemahan ketelusan dalam terma syarat PPA sebelum
itu," kata Presidennya, Datuk Akhbar Satar dalam satu kenyataan hari
ini.
Akhbar berkata, keraguan melibatkan perjanjian PPA juga terserlah
apabila TNB mengenakan kadar yang tinggi kepada pengguna walaupun
mendapat subsidi sebanyak 23 sen seunit (300 peratus) daripada
kerajaan.
"Sebaliknya, kita melihat tarif elektrik naik beberapa kali dalam 20
tahun yang lalu, walaupun kuasa pasaran boleh menyebabkan harga elektrik
turun ke tahap yang selesa.
"Tidak ada sebab mengapa pengguna isi rumah perlu dipaksa untuk
membayar harga elektrik yang besar, ketika TNB dapat mengeluarkannya
pada kadar 8 sen seunit (kWh), tetapi IPP dibayar sebanyak 23 sen per
unit (300 peratus)," katanya.
Perjanjian PPA pertama ditandatangani pada 1994 dan akan tamat pada 30
September 2015 dan TI-M menggesa supaya Putrajaya tampil secara telus
dalam menyemak semula perjanjian tersebut.
"Kerajaan Datuk Seri Mohd Najib Razak dan TNB perlu secara telus
menyemak perjanjian semula dengan IPP untuk mengurangkan kos elektrik,
terutama mereka menikmati subsidi minyak daripada kerajaan sejak 21
tahun lalu," katanya.
Akhbar berkata, IPP pastinya sudah memperoleh modal pelaburan daripada
loji mereka, maka secara komersilnya mereka mampu untuk menurunkan tarif
elektrik.
"Dengan pertumbuhan banyak IPP, pasaran sepatutnya menjadi lebih
kompetitif dan pengeluar tenaga pastinya perlu lebih menjadi lebih
efektif," katanya.
Mengenai semakan semula perjanjian dengan IPP, Akhbar mencadangkan
supaya kerajaan juga bekerjasama dengan pembangkang Pakatan Rakyat (PR)
untuk mendapatkan input dan pandangan yang bernas bagi menyelesaikan
permasalahan yang dibangkitkan.
"Mereka wajar dijemput untuk duduk sama dalam perbincangan dan berikan
mereka input ataupun kerajaan perlu buktikan kemampuannya sendiri untuk
mengurangkan beban kepada orang ramai yang berhadapan peningkatan kos
sara hidup saban hari," katanya.
Selain itu, TI-M mendesak Putrajaya menubuhkan RCI bagi menyiasat ketirisan perjanjian yang menguntungkan IPP.
"Petunjuk jelas ini menunjukkan terdapat perjanjian berat sebelah yang menguntungkan IPP.
"Ia juga menunjukkan kerajaan mempunyai alasan yang jelas untuk untuk
menubuhkan sebuah RCI untuk mengetahui perkara sebenar yang berlaku, dan
mengapa TNB terpaksa membayar harga besar untuk bekalan elektrik,
ketika mereka boleh menghasilkannya pada satu pertiga daripada harga
asal.
"Tiada sebarang analisis boleh dibuat untuk menjelaskan keputusan
ekonomi luar biasa tersebut, dan keputusan tersebut dibuat oleh Unit
Perancangan Ekonomi yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri,”
katanya.
Pakatan Rakyat menganggarkan jumlah subsidi korporat yang diberikan
kerajaan adalah hampir dengan pemotongan subsidi petrol dan diesel yang
berjumlah RM14.8 bilion diumum Najib pada September baru-baru ini. - 16
Oktober, 2013.The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment