Akhbar
milik Umno Utusan Malaysia dalam edisi Ahad Mingguan Malaysia hari ini
meneruskan serangan terhadap masyarakat Cina apabila melabelkan kaum itu
tidak suka ditegur dan mengatakan pendekatan politik mereka sudah
melampau dan berbahaya hasil pengamatan dari sebuah buku ‘The Chinese
Dilemma’, tulisan Ye Lin Shing.
Menurut kolumnisnya Awang Selamat, penulis buku itu tidak malu untuk
mengakui orang Cina Malaysia bersikap tidak adil terhadap orang Melayu
malah katanya, masyarakat Cina taksub menyokong parti ekstrem DAP serta
mahu menuntut hak sama rata dengan orang Melayu.
“Rumusan yang boleh dibuat dari buku tersebut, orang Cina di negara ini
lebih beruntung berbanding negara lain tetapi masih tidak bersyukur.
Penulis menekankan bagaimana sikap pemurah orang Melayu dalam kontrak
sosial sebelum merdeka membolehkan kaum Cina mendapat kerakyatan.
“Masyarakat Cina Malaysia juga perlu menghayati nasib dialami warga
Cina di Vietnam menjadi orang hanyut dipaksa meninggalkan negara itu
serta kaum Cina di Kemboja yang ramai daripada mereka dibunuh atau
dihalau.
“Penduduk Cina di Indonesia turut mengalami nasib sama apabila identiti
mereka dihapuskan, begitu juga di Filipina, yang kaum Cina dinafikan
kerakyatan mereka,'' katanya.
Awang Selamat berkata, buku tersebut menjadi sangat relevan untuk
dibaca terutama pasca Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang menyaksikan
tsunami kaum Cina menolak kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan orang
Melayu.
“Apabila akhbar Utusan Malaysia menyiarkan di muka surat depan, ulasan
berita bertajuk Apa Lagi Cina Mahu? dua hari selepas keputusan PRU-13,
sebahagian pemimpin DAP dan NGO Cina marah walaupun kandungan laporan
itu disifatkan oleh banyak pihak sebagai realistik dan suatu pertanyaan
yang rasional,” katanya.
Menurutnya lagi, kerajaan banyak memenuhi tuntutan kaum Cina bersifat
perkauman seperti pengembangan sekolah Cina dan dasar kerajaan yang
membolehkan ramai orang Cina terus kaya raya namun mereka tetap mahu
menjatuhkan kuasa politik Melayu.
“Penulis turut menggambarkan sikap angkuh Cina Malaysia yang suka
menghina orang Melayu. Orang Melayu sebenarnya sedang dijajah kaum Cina
tetapi itulah keistimewaan orang Melayu, mereka adalah bangsa yang
bersopan santun dan penyabar.
“Sepatutnya orang Cina perlu berbakti kepada orang Melayu. Awang
kasihan kepada orang Melayu. Walaupun banyak beralah kepada kaum Cina
sejak dahulu lagi tetapi terus dilukai dan dikhianati. Budi yang
dihulur, racun yang diberi. Pun begitu, ramai Melayu yang masih tidak
sedar diri,” katanya.
Dua hari selepas keputusan PRU13 diumumkan, akhbar Utusan Malaysia
mempersoalkan “Apa lagi Cina mahu?” di muka hadapannya, satu langkah
dilihat untuk menunjukkan trend pengundian Cina lawan Melayu.
Laporan itu diselar ramai pihak kerana sebahagian besar penganalisis
berpendapat, keputusan PRU13 sebenarnya menunjukkan perbezaan pengundian
antara penduduk bandar dan luar bandar bukan antara kaum Cina dan
Melayu. – 27 Oktober, 2013. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment