Sunday, October 20, 2013

Zahid hargai, Mukhriz salahkan 'portal pro-pembangkang'


Malaysiakini Okt 20 2013  
Naib presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan penghargaan kepada portal 'pro-pembangkang' tertentu yang menurutnya menyumbang kepada sokongan yang diperolehinya bagi mengekalkan kedudukan dalam pemilihan parti bagi jawatan itu semalam.

Liputan media berkenaan, yang tidak dinamakannya, turut membantu mempromosi beliau, katanya seperti dipetik dalam laporan portal Mstar Online.

 "Saya ucapkan terima kasih kepada portal-portal, majalah dan bahan-bahan liputan di media sosial pro-pembangkang.

"Mereka sebenarnya turut membantu mempopularkan saya," katanya, yang menerima undi terbanyak sebanyak 185 undi berbanding lima calon lain bagi jawatan tersebut.

Penghargaan seperti itu amat kontras dengan sikap yang ditunjukkan seorang lagi calon jawatan berkenaan, Datuk Mukhriz Mahathir yang tewas dalam pertandingan berkenaan.

Mukhriz menyalahkan “portal pro-pembangkang” The Malaysian Insider yang didakwa mencemar nama baiknya dalam satu laporan kerana menyebut beliau terlibat dengan politik wang dalam pertandingan tersebut.

No comments:

Post a Comment