Sunday, October 20, 2013

Muhyiddin nafi berkata Mukhriz disingkir, dakwa akaun Facebook palsu

October 19, 2013
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) hari ini menafikan mengeluarkan kenyataan yang dibuat dalam satu akaun Facebook mengenai dakwaan adanya keputusan Jawatankuasa Disiplin Umno ke atas Datuk Mukhriz Mahathir.

Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno menegaskan akaun Facebook itu bukan milik beliau dan telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat akaun Facebook itu yang menggunakan nama "Tansri Muhyiddin Yasin".
"Saya menafikan kenyataan yang dibuat dalam satu akaun FB (Facebook) mengenai dakwaan adanya keputusan Jawatankuasa Disiplin Umno ke atas Datuk Mukhriz.


 "Saya tidak mengeluarkan kenyataan itu dan akaun FB itu bukan milik saya," katanya dalam kenyataan ringkas kepada media di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh, Johor.

Akaun Facebook itu dikesan memuat naik kenyataan pada pukul 8.30 pagi ini yang menyebut Mukhriz telah disingkir daripada percalonan naib presiden Umno.
Kenyataan itu, antara lain berbunyi "Pihak Lembaga Disiplin Umno telah membuat keputusan bahawa calon didapati telah melanggar etika parti dan secara langsung terlibat dalam penglibatan wang yang besar dan diedarkan pada program khas yang diadakan oleh pihak calon baru-baru ini.

"Saya berharap pihak Lembaga Disiplin Umno dapat menyiasat perkara ini secepat mungkin," menurut status dalam Facebook itu.
Status yang dimuat naik itu telah mendapat 45 komen dan 32 "likes" setakat 1.30 petang ini. - Bernama, 19 Oktober, 2013.

No comments:

Post a Comment