DAP
hari ini menyeru sejumlah 1,800 pengundi komuniti Cina di Dewan
Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau untuk menolak Barisan Nasional (BN)
ketika pilihan raya kecil esok kerana parti itu didakwa mengamalkan
politik ancaman, dendam dan diskriminasi.
Naib Pengerusi DAP Kebangsaan Teresa Kok (gambar) bagaimanapun
menegaskan, pihaknya mengalu-alukan pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin
selaku Menteri Pendidikan peruntukan sejumlah lebih RM2 juta untuk tiga
sekolah rendah jenis kebangsaan di kawasan berkenaan.
"DAP menyambut baik perubahan hati kerajaan BN dalam isu peruntukan
bagi sekolah Cina," kata ahli parlimen Seputeh itu dalam kenyataannya di
Kuala Lumpur.
Tegas Teresa, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir telah berkata
tidak akan melayan sebarang permohonan daripada sekolah Cina dengan
berkata tidak akan meminggirkan sokongan pengikut mereka yang menyokong
BN serta populasi majoriti komuniti Melayu di Kedah.
"Ternyata perubahan itu menunjukkan BN membuat 'U-Turn' kerana mahukan
1,800 pengundi Cina memilih mereka," katanya dalam kenyataan tersebut.
Malah, kenyataan Presiden MCA Datuk Dr Chua Soi Lek bahawa sejumlah RM1
juta untuk 15 pelajar Cina sebagai "ujian besar" untuk komuniti Cina
turut menerima tempelak Teresa yang melihat kerajaan BN tidak ikhlas
menjaga sekolah Cina.
"Sekiranya BN ikhlas dan memberi layanan sama rata terhadap sekolah
Cina, mereka seharusnya memberikan peruntukan berkala dan bukan hanya
menjelang pilihan raya," katanya.
"Kerajaan yang adil tidak akan menghukum pengundi dan apa yang
dikatakan Soi Lek tiada beza dengan Mukhriz - bantuan kerajaan BN untuk
sekolah Cina hanya untuk mendapatkan sokongan mereka," katanya.
Justeru, DAP jelas Teresa menyeru agar pengundi komuniti Cina di Sungai
Limau memilih calon PAS Mohd Azam Abdul Samat bagi menghantar mesej
jelas mereka tidak termakan dengan amalan politik BN.
"Walaupun kita menyambut baik peruntukan sekolah Cina, kita tidak
seharusnya diperbodohkan dengan politik ancaman, dendam dan diskriminasi
BN," katanya. – 3 November, 2013. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment