Sebuah keluarga di Jelebuh percaya wanita Malaysia yang dilaporkan dijadikan hamba selama 30 tahun di London adalah anggota keluarga mereka yang pernah melanjutkan pelajaran di sana dan tidak pernah pulang ke tanahair.
  
Keluarga itu mendakwa wanita berusia 69 tahun itu ialah anak ke-11 daripada 12 beradik bernama Siti Aishah Abdul Wahab.
  
Sehubungan itu, Kamar Mahtum yang mengaku adalah kakak kepada wanita itu berlepas ke England malam tadi bagi membuat pengecaman dan membawa pulang Siti Aishah.
  
Suami Kamar Mahtum, Md Noh Md Dom berkata isterinya pergi ke London dengan diiringi penulis blog Hishamuddin Rais yang dikatakan pernah mengenali Siti Aishah sebelum ini.

Ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Binjai, di Jelebu malam tadi, Md Noh berkata beliau difahamkan mereka akan ke England menaiki pesawat yang dijadual berlepas kira-kira 11.55 malam tadi.
  
Katanya, isterinya turut membawa dokumen pengenalan dan gambar adiknya bagi urusan pengecaman nanti.
  
Md Noh, 67, berkata sebelum ini anggota keluarga isterinya telah beberapa kali cuba mengesan Siri Aishah untuk membawanya pulang, namun wanita itu menolak untuk bertemu keluarganya.
  
Siti Aishah dipercayai merupakan seorang daripada tiga wanita yang dijadikan hamba dan dibebaskan pada 25 Oktober lalu selepas salah seorang daripada mereka menghubungi pertubuhan kebajikan.

- Bernama