RAUB - Pemuda Umno Raub membantah cadangan Pas Pekan untuk meminta agar Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang (MUIP) menaikkan harga mas kahwin sebagaimana yang dikatakan oleh Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, kelmarin.

Ketuanya, Mohd Azra Abdul Wahab berkata, dengan keadaan ekonomi sekarang, cadangan tersebut dianggap sebagai sesuatu yang tidak berasas.

“Sekarang ini kos sara hidup semakin tinggi, justeru tidak perlu menambahkan lagi beban mereka yang baru hendak memulakan hidup berumah tangga.

“Itu belum termasuk kos kenduri kahwin dan wang hantaran yang kini juga semakin meningkat,” katanya.

Tambahnya lagi, sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, Pas sepatutnya memikirkan dari sudut agama apakah kesannya sekiranya mas kahwin itu dinaikkan.

“Apabila golongan muda terasa beban berkahwin itu melalui mas kahwin yang semakin mahal, ia mungkin akan menggalakkan lagi maksiat kerana tidak mampu menampung mas kahwin yang tinggi.

“Tidak mustahil sekiranya mereka bertindak melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya sebelum berkahwin kerana tidak mampu menyediakan kelengkapan untuk berkahwin,” katanya.

Katanya lagi, cukuplah golongan muda sekarang dibebankan dengan kos wang hantaran yang tinggi, dan tidak perlu lagi dibebankan dengan mas kahwin yang mahal.

“Usahlah dibebankan lagi mereka ini dengan menaikkan harga mas kahwin.
Kami Pemuda Umno Raub membantah cadangan terbabit dan berharap agar ia tidak dipersetujui pihak bertanggungjawab,” katanya.