Harakahdaily Dec 24, 2013
- Salmah Mat Husain
KOTA BHARU: Rakyat Malaysia perlu membuat keputusan
untuk menyokong Pakatan Rakyat bermula dari sekarang berikutan
kegagalan kerajaan BN yang ditunjangi Umno untuk memerintah negara.
Kenyataan Presiden Perkasa yang bersedia untuk mengambil alih
pentadbiran negara daripada Umno sebenarnya mengiktiraf Pakatan Rakyat
yang lebih mendapat sokongan rakyat, kata Naib Ketua Dewan Pemuda PAS
Negeri Kelantan, Muhammad Hafiz Musa.
Hafiz mengulas kenyataan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali yang
memberi amaran pertubuhan yang dipimpinnya akan menggantikan Umno jika
parti Melayu itu gagal mempertahankan hak Melayu dan Bumiputera di
negara ini.
Berucap dalam Persidangan Agung Perkasa ke-4, Ibrahim menyifatkan
Umno sebagai lemah dan "tidak bertaring" dalam mempertahankan hak
Melayu.
Hafiz seterusnya berkata, sudah tiba masanya rakyat menyemak kembali
dimensi berterusan siri-siri kegagalan BN menjalankan amanah kerajaan
sehingga menyusahkan rakyat.
"Dengan kenaikan harga barang, pelbagai cukai yang dikenakan oleh
kerajaan termasuk tarif letrik dan tol tahun hadapan, rakyat perlu
membuat pilihan bermula dari sekarang," ujarnya.
Sehubungan itu Dewan Pemuda PAS negeri memohon jasa baik Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyemak tadbir urus perbelanjaan
negara.
Pemuda PAS Kelantan turut mempersoalkan sayap parti Umno yang tidak produktif mempertahankan rakyat.
"Tidak hairanlah jika tanpa malu, Perkasa menawarkan diri untuk menggantikan Umno bagi membela nasib rakyat," ujarnya.
No comments:
Post a Comment