Kunta Kinte nak kata, kesilapan paling besar mana-mana pihak adalah anggap orang ramai tak peduli atau tak tahu.
Sekarang bukan macam dulu lagi. Dulu banyak orang buta huruf, saluran
maklumat tak banyak dan kalau berjalan pun dekat-dekat saja. Jadi tak
banyak berita dan cara nak bertukar-tukar fikiran pun terhad.
Sekarang kita belum habis bercakap, orang sebelah kita dah ‘tweet’
kenyataan kita. Kita belum habis menguap, orang sebelah kita dah
‘instagram’ gambar kita. Dalam masa beberapa saat satu dunia tahu.
Silap besar kalau ada pemimpin dan pembesar, parti politik dan kerajaan
masih sangka rakyat jelata dan orang ramai tak tahu atau tak peduli.
Ambil contoh kenaikan harga barang dan perkhidmatan akibat pengurangan
subsidi sekarang. Rakyat mungkin tak tahu butir kenaikan, tapi oleh
sebab mereka yang kena tanggung, mereka buat macam-macam andaian dan
kesimpulan. Kalau media massa arus perdana tak bincang, mereka cari dan
guna saluran lain.
Pengguna kita dah biasa dengan naik turun harga barang ikut musim dan
perayaan. Yang mereka tak puas hati ialah pihak yang jaga hal ehwal
pengguna nampak macam tak peduli dan tak bermaya. Kalau pantau pun macam
hangat-hangat tahi ayam.
Mereka lagilah marah bila dua tiga subsidi dikurangkan serentak, cukai
pintu naik lepas pilihan raya umum 5 Mei lalu dan rakyat dengar
macam-macam cerita yang tak sedap. Bila subsidi dikurangkan serentak,
harga pun naik serentak juga. Lepas tu, ada pula yang jawab keluhan
rakyat dengan cara kasar dan menyindir.
Jangankan orang susah, orang senang pun ada masalah. Harga naik bila
ibu bapa tengah pening fikir belanja sekolah anak. Sekolah buka dua
minggu lagi. Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata, ‘timing’ tak berapa
kena.
Kunta Kinte dah sebut yang subsidi bukanlah baik kepada ekonomi dan tak ada negara yang boleh tanggung subsidi selama-lamanya.
Beri pemahaman kepada rakyat
Tapi kenalah cerita kepada rakyat dengan cara yang mereka faham. Dulu
kita boleh bagi macam-macam subsidi pasal bilangan rakyat kita tak
ramai. Hasil negara banyak. Harga dan permintaan barang pengguna tak
tinggi. Jadi belanja subsidi tak berapa banyak.
Sekarang rakyat kita makin ramai. Tak cukup dengan itu, kita tampung
pula berjuta-juta pendatang asing. Permintaan makin bertambah, tapi
hasil negara macam petroleum dan gas makin kurang. Harga eksport utama
macam minyak sawit jatuh. Harga getah pun jatuh juga. Peneroka dan
penoreh getah susah.
Jadi kalau kita tak mahu berhutang sampai muflis dan nak simpan sikit
sumber petroleum dan gas untuk anak cucu kita, kita kenalah kurangkan
subsidi. Kalau tidak, hasil bumi kita habis, hutang bertimbun dan anak
cucu kita kena tanggung pada masa depan. Tak patutlah macam tu.
Lagipun cara kita bagi subsidi tak adil. Pengguna miskin yang pakai
motosikal 75cc dapat subsidi petrol. Tan Sri yang pakai kereta 5,000cc
pun dapat juga.
Tuan motor pakai 100 liter sebulan dapat subsidi RM53. Tan Sri pakai
100 liter sehari dapat subsidi RM1,590 sebulan. Orang susah dapat
subsidi gula, jutawan dan syarikat minuman pun dapat juga.
Ada baiknya kita kurangkan subsidi berperingkat-peringkat, tapi jangan sampai harga barang dan perkhidmatan melambung.
Duit yang dijimatkan itu boleh kita guna dengan cara yang lebih adil
macam tambah BR1M, tambah bantuan pelajaran, bina rumah murah untuk
rakyat miskin dan bantu mereka menabung.
Kena sama-sama susah
Kunta Kinte kata, kalau pemimpin tahu rakyat susah akibat kenaikan harga, mereka pun kenalah sama-sama susah.
Tak perlulah terbang 1st Class dalam dan luar negara. Tak payahlah buat
majlis rasmi mahal-mahal. Tak perlu bilik menanti, meja VVIP dan
hidangan khas. Hiduplah macam rakyat bila di depan rakyat. Rakyat pun
janganlah layan pemimpin seolah-olah mereka anak raja. Mereka wakil
kita. Kita yang undi mereka.
Duduk dan makan dengan rakyat jelata sekali-sekala tak boleh ke? Sedap
mata memandang, sedap lagi telinga mendengar. Ular menyusur akar tidak
hilang bisanya. Wallahualam. – bharian.com.my, 22 Disember, 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment