Thursday, December 26, 2013

Dua pemimpin BN, Pakatan sepakat tulis buku bersama

OLEH SHERIDAN MAHAVERA
December 25, 2013
Penulisan buku bersama diambil bagi menghubungkan perbezaan politik dalam Malaysia, kata Datuk Saifuddin Abdullah. - Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 25 Disember, 2013.Penulisan buku bersama diambil bagi menghubungkan perbezaan politik dalam Malaysia, kata Datuk Saifuddin Abdullah. - Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 25 Disember, 2013. Selepas usaha mengadakan dialog politik menemui jalan buntu, dua pemimpin disegani daripada Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) mengambil jalan untuk menulis buku bersama bagi meredakan ketegangan.




Bekas Ahli Parlimen Temerloh dari Umno, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Parit Buntar dari PAS, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa bersetuju untuk menulis buku bersama bagi membuktikan kepada rakan mereka dan rakyat Malaysia bahawa perbezaan pandangan boleh diketepikan.

Bagaimanapun, topik mengenai buku tersebut masih belum diputuskan, tetapi Mujahid berkata buku tersebut akan menumpukan cara untuk membawa Malaysia ke depan di dalam keunikan kepelbagaian etnik dan agama serta ekonominya.

 Buku tersebut dijangka menyentuh isu berkaitan keadilan sosial dalam masyarakat di Malaysia.
"Dalam keadaan semasa Malaysia, ia memerlukan idea baru untuk membawanya ke depan," kata Mujahid yang juga merupakan anak kepada bekas presiden PAS, Yusof Rawa.
"Mana-mana negara yang membangun perlu melihat semula perjalanan selepas 50 tahun. Ia adalah satu proses biasa. Ia tidak bermakna kita menolak masa lalu tetapi kami sedang mencari harapan baru dalam pemikiran kita,” katanya.

Dalam temubual berasingan, Saifuddin berkata, inisiatif tersebut diambil bagi menghubungkan perbezaan politik dalam Malaysia yang berpunca daripada isu fundamental apabila kedua-dua pihak tidak dapat bersetuju antara satu sama lain.
"Selepas pilihan raya umum ke-13, ia sangat jelas rakyat tidak akan memberi dua pertiga majoriti kepada mana-mana gabungan parti politik di Parlimen," kata Saifuddin dalam wawancara bersama The Malaysian Insider semalam.

"Apa yang boleh kita buat? Jadi, mestinya terdapat isu fundamental iaitu kedua-dua pihak boleh bersetuju duduk bersama,” katanya.
Walaupun tajuk buku itu masih belum diputuskan menurut Saifuddin, ia akan diterbitkan oleh pengarang, Anas Zubedy.
Saifuddin yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif bagi Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMMF), adalah tokoh utama yang menggesa pendekatan lebih inklusif dan rasional diambil untuk menangani isu dalam masyarakat Malaysia.

Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa banyak terbabit dengan kerja sukarelawan di kalangan masyarakat bukan Islam, terutama penganut Kristian. Gambar fail.Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa banyak terbabit dengan kerja sukarelawan di kalangan masyarakat bukan Islam, terutama penganut Kristian. Gambar fail. Mujahid pula dikenali terlibat dalam kerja sukarelawan di kalangan masyarakat bukan Islam, terutamanya penganut Kristian. Beliau baru-baru ini menerbitkan sebuah buku mengenai dialog antara agama dengan gereja-gereja seluruh Malaysia.

Kedua-dua pemimpin tersebut juga dipilih berada dalam Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN), sebuah badan yang ditugaskan untuk mencari penyelesaian kepada perpecahan sosial dan budaya yang melanda masyarakat Malaysia.

Kerja penulisan buku tersebut akan bermula tahun depan tetapi tarikh penerbitannya masih belum diputuskan.
Selepas berakhir pilihan raya pada 5 Mei lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan perbincangan antara PR dan BN berhubung beberapa isu berkaitan kepentingan rakyat.
Beliau berkata, antara topik perbincangan yang boleh diketengahkan adalah daripada segi ekonomi, jenayah dan kewibawaan badan kehakiman.
Bagaimanapun, pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin Umno menolak tawaran tersebut dan menyifatkannya tiada keperluan untuk mengadakan usaha sedemikian. - 25 Disember, 2013.TMI

No comments:

Post a Comment