Timbalan
Presiden PAS Mohamad Sabu (gambar) menyokong tindakan kerajaan negeri
Selangor menaikkan gaji anggota pentadbir dan Ahli Dewan Undangan Negeri
(Adun) di negeri tersebut kerana menurutnya ini dapat membantu
menghapuskan amalan rasuah di kalangan wakil rakyat.
Katanya, rakyat dikelirukan dalam isu kenaikan gaji ini oleh media
walaupun ia merupakan satu keperluan bagi wakil-wakil rakyat.
“Wakil rakyat perlu dididik untuk menentang rasuah. Seperti yang
berlaku di Singapura di mana elaun ahli-ahli Parlimen mereka begitu
tinggi bahkan mengatasi beberapa negara-negara Eropah.
“Tetapi indeks rasuah di Singapura seperti yang didedahkan Transparency
International, 9.5/10 iaitu hampir-hampir tiada rasuah,” katanya kepada
The Malaysian Insider apabila ditemui malam tadi.
Menurut Mohamad, di Singapura tidak berlaku kebocoran dan pembaziran
dalam perbelanjaan kerana wang pembayar cukai diuruskan dengan baik.
Menurut bekas ahli Parlimen selama tiga penggal itu, ketika menjadi
wakil rakyat, beliau dan rakan-rakan daripada pembangkang lain
seringkali ke Pejabat Kewangan Parlimen pada hujung bulan untuk
bertanyakan tentang kemasukan elaun mereka.
“Saya dapati kebanyakan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tidak peduli
hal kemasukan elaun dan sebagainya kerana mereka mempunyai wang
daripada pelbagai sumber lain,” katanya.
Katanya, kenaikan gaji dan elaun di Selangor tidak akan mengurangkan
banyak wang simpanan negeri kerana jika kebocoran dan ketirisan dapat
dikawal, ia akan menjimatkan lebih banyak wang pembayar cukai.
“Seperti wang PPRT yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2012
telah digunakan untuk projek penternakan ikan emas. Penyalahgunaan wang
PPRT diberikan kepada orang yang berada bukan kepada orang miskin,”
katanya merujuk kepada Program Pembangunan Rakyat Termiskin.
“Elaun Adun khasnya, sebelum dinaikkan hanya setaraf dengan guru besar
dan kadang-kadang lebih rendah daripada guru besar di sekolah-sekolah
yang lebih besar.”
Semalam Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Adun
Selangor daripada parti itu akan menyumbang RM1,000 sebulan daripada
gaji mereka, selepas dikecam pelbagai pihak termasuk pimpinan tertinggi
parti itu.
Beliau berkata, jumlah berkenaan atau 20% daripada keseluruhan kenaikan
gaji yang diterima akan disalurkan kepada program pendidikan di bawah
Tabung Pendidikan Keadilan Anak Selangor.
No comments:
Post a Comment