Bekas
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain
Ibrahim hari ini nafi berkomplot untuk menjatuhkan Tan Sri Abdul Gani
Patail susulan pendedahan salah laku Peguam Negara yang dibuatnya
baru-baru ini.
Mat Zain mendedahkan sudah menghantar salinan Perakuan Bersumpah (SD)
kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pegawai kanan
kerajaan berhubung salah laku Abdul Gani dalam kes Pulau Batu Puteh.
"Saya ingin menegaskan di sini bahawa jika terdapat apa-apa komplot
oleh mana-mana pihak untuk apa pun tujuan mereka, saya memperakukan yang
saya tidak bersekongkol atau bersubahat dengan komplot tersebut,"
katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pendedahan tersebut mendapat perhatian pelbagai pihak, tetapi, katanya,
kebanyakan pihak membuat tanggapan salah terhadap perkara mustahak yang
cuba disampaikannya.
"Saya mendapati ada di antara komen dan kesimpulan yang dibuat adalah
tersasar, mengelirukan dan/atau dipesongkan untuk mensensasikan isu,"
katanya.
Pada 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda
memutuskan kedaulatan pulau yang bersaiz separuh padang bola sepak itu
diserahkan kepada Singapura.
Dalam kandungan 31 muka surat SD Mat Zain, beliau mendakwa ratusan juta
ringgit bertukar tangan dan dimasukkan ke dalam akaun bank di Hong Kong
berhubung kes ini.
Mat Zain turut mendakwa Abdul Gani sengaja menyebabkan Malaysia kalah
dalam kes itu, menyebabkan keputusan ICJ berpihak kepada Singapura.
Beliau menggesa pihak berkuasa menyiasat punca sebenar Malaysia tewas dalam mendapatkan hak Pulau Batu Puteh.
Katanya, akuan bersumpah itu dibuat bagi meyakinkan Putrajaya untuk
menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu Pulau Batu
Puteh yang dimiliki Singapura.
Mat Zain berkata, beliau sudah memaklumkan kepada Ketua Polis Negara,
Tan Sri Khalid Abu Bakar, susulan beberapa pihak yang menggesanya
membuat laporan polis terhadap tuduhan dilemparkan dalam SD dibuatnya.
"Saya mengambil kesempatan ini, untuk mengulas kenyataan Menteri Dalam
Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Perkasa, Datuk
Ibrahim Ali, beberapa hari lalu yang menggesa saya membuat laporan polis
berkaitan dengan SD yang saya ikrarkan itu supaya pihak polis boleh
memulakan penyiasatan.
"Pada 10.10.2013 ketika mengirimkan salinan SD berkaitan kepada Ketua
Polis Negara, Ketua Setiausaha Negara dan Peguam Cara Negara, saya
menyertakan surat iringan yang agak panjang lebar," katanya. - 2
Disember, 2013.
No comments:
Post a Comment