Menurut
Prof Datuk Mohamad Abu Bakar, mengkafirkan penganut Syiah tidak berlaku
secara rasmi walaupun di Arab Saudi, yang mempunyai kelompok penganut
Syiah termasuk di Madinah. - Gambar The Malaysian Insider, 12 Disember,
2013.Malaysia harus mencontohi negara Islam di Timur
Tengah dalam menguruskan perbezaan mazhab, di mana penganut mazhab Sunni
tidak pernah mendakwa kumpulan Syiah di negara mereka terkeluar dari
Islam, menurut seorang pakar hubungan antarabangsa.
Prof Datuk Mohamad Abu Bakar, pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa
Universiti Malaya, berpendapat jika Malaysia tidak berhati-hati dalam
perkara ini, imej negara akan terjejas dan pendukung hak asasi manusia
akan menuduh Malaysia tidak mengamalkan toleransi sesama umat Islam.
“Kita perlu berwaspada
dalam hal ini. Kita bimbang perbuatan ini
membuka ruang seluas-luasnya kepada campur tangan Barat yang ingin
melihat perpecahan umat Islam. Malah ada yang mengatakan agenda
melagakan Syiah dan Sunni ini sudah lama dipasang pihak tertentu,” kata
Mohamad.
“Di peringkat antarabangsa sekali pun seperti di Arab Saudi bukan
sedikit penganut Syiah termasuk di Madinah. Walaupun ada pertembungan
politik di kawasan tertentu dengan mazhab Syiah, tidaklah mereka ini
sampai ke peringkat mengatakan Syiah terkeluar daripada Islam,” katanya.
Menurut Mohamad, apabila kerajaan mengambil pendekatan drastik
memerangi Syiah, ia membawa kepada pengasingan umat Islam di negara ini.
“Apabila kita memberi penekanan berlebihan kepada Sunni, maka dengan sendiri ia membawa kepada pengasingan agama.
“Walaupun perlu kita mengawasi penularan Syiah, ia perlu dibuat dengan
kebijaksanaan kerana ia berpotensi menjejas hubungan dengan negara luar
disebabkan penganut fahaman itu tidak akan berdiam diri. Mereka akan
menguar-uarkan konflik yang berjalan ini sehingga disalah tafsir oleh
pihak lain,” katanya.
Perhimpunan agung Umno baru-baru ini telah menyaksikan para pemimpinnya
melancarkan serangan terhadap umat Islam bermazhab Syiah.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini berjanji
mendedahkan bukti-bukti untuk menyokong tuduhan beliau bahawa Timbalan
Presiden PAS Mohamad Sabu terlibat dalam aktiviti Syiah.
Katanya, tindakan ini dilaksanakan dengan cara yang amat buruk, namun
Kementerian Luar Iraq tidak mengambil sebarang bentuk tindakan balas
berkaitan isu tersebut.
“Kerajaan Malaysia sanggup mengkafirkan majoriti rakyat Iraq biarpun
Kedutaan Malaysia tidak diarahkan untuk tampil diberi teguran secara
lembut.
"Syarikat Malaysia sedang bergembira dengan meraih pelbagai projek di
Iraq dan banyak peluang perniagaan telah dianugerahkan secara istimewa
kepada kerajaan Malaysia.
“Saya tidak tahu bagaimana kerajaan Malaysia boleh sampai ke tahap
diplomasi yang hancur seperti ini dan melakukan pelanggaran akidah. Di
mana Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC)? Sama ada ini sebuah sikap
yang ekstrim atau tidak, tindakan pengkafiran bakal menjurus kepada
pembunuhan,” katanya dalam rakaman video di Youtube yang tersebar luas.
Sebelum ini, ahli sosiologi Dr Mohd Faizal Musa berkata kejahilan dan
tindakan melampau golongan Islam Sunni mempengaruhi pihak berkuasa agama
telah mendorong gerakan anti-Syiah di Malaysia, walaupun masyarakat
minoriti ini sudah bertapak sejak berabad lalu.
Katanya, ekstremis di kalangan pihak berkuasa agama telah menyebarkan
mitos bahawa Islam Syiah hanya bermula pada tahun 1979 iaitu ketika
Revolusi Islam Iran dan kononnya mazhab yang merupakan kedua terbesar
dalam Islam ini merupakan satu ancaman luar.
Faizal berhujah sikap tidak tolak ansur pihak berkuasa agama dan
kumpulan Sunni terhadap golongan Syiah adalah kerana pengaruh Wahabi -
fahaman konservatif Islam yang berasal dari Arab Saudi. – 12 Disember,
2013. TMI
No comments:
Post a Comment