(Dari kiri) Saifuddin, Anwar dan Khalid Mishal dalam satu pertemuan semalam. Gambar ehsan Saifuddin Nasution.Setiausaha
Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail menafikan laporan sebuah
portal berita yang mengatakan kemungkinan Khalid Mishal dari Hamas yang
datang ke Malaysia untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2013 sebagai
pihak memulakan inisiatif dialog diantara Barisan Nasional (BN) dengan
Pakatan Rakyat (PR).
Bagaimanapun menurut Saifuddin, seperti yang dinyatakan oleh Ketua
Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim lewat malam tadi, PR sentiasa
mengambil sikap terbuka cadangan mengadakan dialog dengan BN terutama
dalam perkara-perkara yang berkait kepentingan rakyat dan negara.
“Kalau secara kebetulan pertemuan di antara kedua mereka berlangsung di
antara pertemuan Khalid Mishal dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak beberapa hari sebelumnya, hal ini bukanlah bermakna pemimpin Hamas
tersebut memulakan inisiatif ‘perbincangan’ di antara Barisan Nasional
dan Pakatan Rakyat,” kata Saifuddin kepada The Malaysian Insider.
Menurut Saifuddin, pertemuan diantara Anwar dan Khalid semalam
merupakan pertemuan susulan yang sebelum ini berlangsung di Doha, Qatar
awal tahun 2012.
“Bertemu di pejabat PCOM (Palestine Cultural Organisation Malaysia)
petang semalam jam 2.30 petang turut disertai seorang lagi wakil Hamas
Osama Hamdan dan saya sendiri selaku Setiausaha Agung PKR.
“Sepertimana pertemuan sebelum ini, tumpuan perbincangan kedua-dua
mereka semalam adalah dari hal perkembangan politik di Timur Tengah dan
negara-negara Arab khususnya Mesir, Syria, Tunisia, Sudan dan Yemen,”
katanya.
Sebuah portal berita melaporkan hari ni menyatakan terdapat kemungkinan
pemimpin Hamas memulakan inisiatif dialog diantara BN dan PR.
Laporan itu dibuat selapas Anwar mengeluarkan kenyataan malam tadi yang mengatakan PR bersedia untuk berdialog dengan BN.
Ketua Umum PKR itu dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur malam tadi
berkata berkata mereka membuat tawaran ekoran ucapan Najib dalam ucapan
dasar semasa Perhimpunan Agung Umno yang mengatakan parti itu bersedia
menghulurkan salam politik dengan mana-mana pihak.
"Oleh itu, sekali lagi kami mengulangi kesediaan serta mengambil sikap
terbuka untuk mengadakan perbincangan ke arah kepentingan bangsa dan
politik baharu," kata Anwar dalam kenyataan tersebut. – 6 Disember,
2013. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment