Pemimpin
veteran DAP Lim Kit Siang (gambar) menyifatkan cadangan bekas perdana
menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kembali ke Putrajaya merupakan isyarat
pemberontakan dalam Umno.
Bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin hari ini dalam
tulisan blognya menyuarakan cadangan supaya Dr Mahathir kembali ke
Putrajaya.
"Cadangan tersebut bukan saya undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.
"Tetapi juga adalah isyarat plot dan konspirasi daripada kuasa tindak
balas anti-demokratik dalam Umno dan Barisan Nasional untuk
memberontak," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini merujuk kepada
tulisan Zainuddin dalam blognya.
Ahli Parlimen Gelang Patah berkata gesaan tersebut sememangnya sudah
dijangka memandangkan pentadbiran Najib dilihat lemah khususnya dlam
menangani isu kalimah Allah selain cadangan supaya Akta Keselamatan
Dalam Negeri (ISA) dikembalikan semula selepas dimansuhkan oleh Najib
pada tahun 2012 lalu.
"Zainuddin Maidin hanya menguji untuk melihat sama ada rakyat Malaysia
bersedia untuk melihat Mahathir kembali ke Putrajaya," kata Lim lagi.
Namun, Lim menegaskan negara tidak perlukan Dr Mahathir kerana langkah
tersebut hanya akan menyebabkan Malaysia lebih lagi ketinggalan dalam
mencapai status negara maju.
"Malaysia tidak perlukan Mahathir kembali ke Putrajaya atau polisi
Mahathir dikembalikan dimana telah menyebabkan berjuta bakat negara yang
baik hilang begitu sahaja," tegas Lim lagi.
Penasihat DAP tersebut juga berkata Mahathir harus bertanggungjawab
kerana kegagalan menggunanakan sumber manusia dan asli yang dimiliki
untuk membangunkan Malaysia hingga mengakibatkan rasuah berleluasa,
salah guna kuasa, kronisme dan juga sistem kehakiman negara tercalar.
"Kembalikan Mahathir adalah jalan penyelesaian paling buruk untuk negara," ujarnya lagi.
Baru-baru ini, Dr Mahathir yang mengetuai negara dari 1981 hingga 2003
mencadangkan kepada Putrajaya untuk mengembalikan ISA bagi mengawal
kumpulan “minority ekstremis”, yang didakwanya menjejaskan kestabilan
negara.
"Untuk ekstremis seperti kumpulan itu, kita perlu ISA," kata Dr
Mahathir kepada wartawan pada Khamis selepas menjadi tetamu dalam
rancangan Hello On Two di RTM2.
Cadangannya itu mendapat sokongan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid
Abu Bakar yang berharap ISA diperkenalkan semula selepas dimansuhkan,
dua tahun lalu.
"Ya, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) mencukupi, tetapi apa salahnya dengan ISA?
"Kedua-dua undang-undang itu sesuai untuk sebab berlainan. Sebagai
pegawai penguatkuasa undang-undang, saya mengalu-alukan undang-undang
yang boleh membantu saya mengekalkan keselamatan dalam negara dan
ketenteraman awam," katanya.
Sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Mei tahun lalu, terdapat
penyokong Dr Mahathir, termasuk veteran Umno dan blogger yang mendesak
supaya bekas perdana menteri itu kembali kerana masih ramai ingat
kepimpinan Dr Mahathir yang tegas dalam membuat keputusan sehingga
memimpin kepada kerajaan lebih kuat.
Menjelang 2014, ketegangan berlaku lagi berhubung isu penggunaan
kalimah Allah oleh bukan Islam sementara kumpulan Islam bertegas
perkataan Allah itu adalah eksklusif untuk Islam. – 12 Januari, 2014.
No comments:
Post a Comment