Friday, January 17, 2014

GiatMara Selayang :Blogger dan facebooker fitnah hadapi tindakan saman

January 17, 2014
William menunjukkan laporan penutupan Pusat GiatMara Selayang. Gambar Selangorkini. 
William menunjukkan laporan penutupan Pusat GiatMara Selayang. Gambar Selangorkini.Blogger dan pengendali laman sosial Facebook pro Umno diminta menarik balik kenyataan fitnah berhubung isu penutupan Pusat Latihan Kemahiran GiatMara Selayang atau terpaksa berdepan tindakan saman.

Ahli Parlimen Selayang William Leong berkata, kenyataan yang dikeluarkan kedua-dua pihak yang mengaitkan dirinya dengan penutupan pusat latihan berkenaan adalah tidak benar sama sekali serta bersifat jahat.
Jelasnya, sebagai ahli parlimen beliau tidak mencampuri sebarang urusan berkaitan Pusat Latihan Kemahiran GiatMara yang didirikan di atas tanah milik kerajaan negeri.

 “Saya tidak mengetahui mengenai isu ini sehingga ia dikeluarkan di media massa, lalu saya menghubungi exco negeri untuk penjelasan.
“Apa yang berlaku ialah keadaan pusat latihan ini didapati tidak memuaskan oleh penilaian ‘Task Force’ yang ditubuhkan kerajaan negeri dan kerana itu notis dikeluarkan,” kata William dalam satu sidang media di pejabatnya di sini, lapor Selangorkini, media kerajaan negeri Selangor.
Sehubungan itu, beliau menggesa kedua-dua blogger “Pahangku Media” dan pengendali laman Facebook “Boikot Barangan Cina DAP” untuk menarik balik kenyataan fitnah itu.

“Kami kini dalam proses mencari mereka yang terlibat dengan kedua-dua laman sosial ini. Kemudian kami akan hantar surat peguam secara rasmi untuk mereka menarik balik kenyataan.
“Sekiranya selepas tempoh tujuh hari daripada tarikh surat dikeluarkan mereka gagal untuk berbuat demikian, maka mereka perlu berdepan tindakan saman daripada saya,” kata William.
Antara lain, melalui blog Pahangku Media yang boleh dilayari di www.pahangku.com, William dikatakan bersetuju bersama anggota Exco DAP untuk meroboh pusat latihan berkenaan bagi membina kondominium bersaiz kecil di atas tapak itu.

Semalam, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan bahawa pihak kerajaan negeri bersedia menimbang kembali keputusan sebelum ini sekiranya pihak pentadbiran menambah baik bangunan sedia ada serta mempertingkatkan kursus dan program latihan.
Adun Taman Templer, Zaidy Talib pula melawat Pusat GiatMara itu semalam untuk melihat perkembangan terkini mengenainya.

Beliau yang disambut mesra oleh pelajar dan kakitangannya mengesahkan keadaan bangunan di pusat itu sangat tidak sesuai dan perlu dinaik taraf.
"Saya difahamkan bangunan ini diubahsuai daripada dewan orang ramai yang terbiar sebelum ini," kata Zaidy.
Kerajaan negeri juga kata Zaidy telah menawarkan tanah yang lebih besar dan sesuai untuk dijadikan tapak baru Pusat GiatMara ini sekiranya mereka mahu berpindah memandangkan sekarang ia berada di tengah kawasan perumahan yang sempit.

"Selaku Adun Taman Templer, saya akan berbincang dengan kerajaan negeri ke arah memastikan agar Pusat GiatMara ini dapat dikekalkan untuk kemudahan belia-belia Selayang mendapat latihan teknikal dan dalam masa yang sama mengharapkan agar GiatMara  dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menaiktaraf Pusat GiatMara ini kepada yang lebih baik.

"Sekiranya memang kawasan itu tidak sesuai, saya akan membantu untuk mengenal pasti tempat yang lebih sesuai disekitar Selayang," katanya.
Zaidy berkata, beliau mual dengan sikap Umno yang seolah-olah jaguh orang Melayu tetapi hipokrit dengan sekian lama membiarkan pusat latihan itu yang memberi latihan kepada anak bangsa dalam keadaan tidak sah status dan juga keadaan bangunan serta kemudahan yang serba kekurangan.

"Saya minta kepada Umno supaya berhenti bersikap hipokrit dalam memperjuangkan bangsa dan agama seperti yang dilaung-laungkan tetapi buktikanlah dengan tindakan walaupun saya memang meragui akan keikhlasan dan keupayaan mereka," katanya. – 17 Januari, 2014.

No comments:

Post a Comment