Badan
pemantau hak asasi manusia antarabangsa Human Right Watch (HRW) hari
ini membidas Putrajaya kerana berpatah balik daripada janji pembaharuan
yang dibuat sebelum pilihan raya 5 Mei tahun lalu.
Dalam World Report 2014 yang dikeluarkan hari ini, kerajaan Barisan
Nasional (BN) di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak tidak menunaikan
janjinya apabila meminda kembali beberapa undang-undang yang menindas
dan menekan.
"Malaysia pada 2013 menyaksikan 'dua kisah Najib', menjanjikan
pembaharuan undang-undang sebelum pilihan raya dan mengembalikan
undang-undang menindas selepas itu," kata timbalan pengarah HRW Asia,
Phil Robertson (gambar) dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, HRW juga mendakwa kerajaan BN menafikan hak asas rakyat Malaysia semasa berlangsung pilihan raya Mei lalu.
"Sejak Mei tahun lepas, kerajaan melanggar hak asas, menyekat kebebasan
bersuara dan membuat pendakwaan ke atas aktivis yang menganjurkan
protes aman," katanya lagi.
Laporan tersebut memetik Pindaan terhadap Akta Pencegahan Jenayah (PCA)
yang diluluskan Oktober tahun lalu oleh pentadbiran Najib sebagai
undang-undang menindas.
HRW juga menegaskan pindaan undang-undang kontrovesi itu membenarkan
penahanan tanpa bicara dan mengehadkan asas untuk merayu serta
mengembalikan beberapa amalan salah guna yang menyamai undang-undang
drakonian lain seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan
Darurat (EO).
Selain itu, Najib juga tidak menunaikan janjinya apabila masih
menggunakan Akta Hasutan untuk mendakwa aktivis dan pemimpin pembangkang
walaupun sebelum ini berjanji undang-undang tersebut akan dihapuskan.
HRW turut mengecam pendakwaan kes Liwat II melibatkan Ketua Pembangkang
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkannya sebagai sengaja direka dan
bermotifkan politik.
Kedegilan kerajaan Malaysia menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan
Salah Laku Polis (IPCMC) bagi memantau Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga
menyebabkan HRW mempersoalkan ketelusan dan integriti agensi tersebut
ketika kes kematian dalam tahanan dilaporkan setiap tahun.
HRW juga membidas sikap kerajaan Malaysia yang mendiskriminasi
kumpulan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
HRW juga menggesa Malaysia selaku anggota dalam Suruhanjaya
Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (UNCHR) meratifikasi lebih
banyak lagi konvensyen hak asasi manusia antarabangsa memandangkan
setakat ini hanya empat sahaja yang ditandatangani.
"Kerajaan Malaysia membalas keputusan buruk dalam pilihan raya yang
diperoleh mereka dengan mengabaikan hak asasi daripada menghormatinya,"
kata Robertson lagi.
Robertson juga mendesak agar kerajaan Malaysia meneruskan pembaharuan
dan melindungi hak asas rakyat Malaysia termasuk pembangkang dan
aktivis. – 21 Januari, 2014.TMI
No comments:
Post a Comment