Sunday, January 19, 2014

Minta bantuan Isteri Perdana Menteri Bawa pulang segera anak pasangan Malaysia ditahan di Sweden: Ketua Pemuda PAS

KOTA BHARU: Kerajaan Malaysia perlu membawa pulang segera anak-anak pasangan rakyat negara ini yang ditahan di Sweden lebih sebulan lalu bagi memastikan nasib mereka lebih terbela.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, semenjak ditahan pada pertengahan Disember lalu, anak-anak mereka mengalami trauma dahsyat kerana ditempatkan di bawah jagaan rakyat Sweden bukan Islam.

Lebih teruk lagi katanya, sehingga sekarang ibubapa mereka belum dihadapkan ke mahkamah, membuktikan kelonggaran dakwaan terhadap mereka.

“Kerajaan Malaysia mempunyai pelbagai cara dan kaedah bagi menangani masalah itu. Saluran diplomatik perlu digunakan bagi memastikan pasangan tersebut dibebaskan dan membawa mereka pulang ke Malaysia untuk diadili,” katanya di sini.

Sebelum ini media melaporkan pasangan rakyat Malaysia tersebut ditahan atas dakwaan memukul anak mereka kerana enggan menunaikan solat.

Ahmad Fadhli berkata, setidak-tidaknya Perdana Menteri boleh memohon isterinya Datin Seri Rosmah Mansor membuat panggilan telefon kepada mana-mana pihak berkuasa di Sweeden.
“Ini kerana isu berkenaan didedah sendiri Datuk Seri Najib Razak ekoran jasa isterinya membebaskan seorang pelajar Malaysia yang ditahan di Mesir.

“Kami penuh yakin di atas kemampuan Datin Seri Rosmah untuk campur tangan dalam isu ini kerana ia lebih melibatkan maruah agama,” tambahnya.

Kata beliau tanggunggjawab untuk menyelamatkan akidah anak-anak rakyat Malaysia beragama Islam di Sweden lebih penting buat masa sekarang.

Beliau juga berkata, kerajaan akan dilihat begitu lemah sekiranya langsung tidak memainkan peranan untuk menyelamatkan mereka di atas kesalahan sekcil itu.

No comments:

Post a Comment