• Pas tubuh pasukan khas kaji keputusan ICJ  
  • Aminolhuda (tiga, kiri) dan Dzulkefly (dua, kanan) bersama ahli Pas selepas mengadakan laporan polis, semalam.
JOHOR BAHRU – Pas Johor menubuhkan pasukan khas ‘Kedaulatan Pulau Batu Putih’ bagi menilai semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menyerahkan kedaulatan pulau berkenaan kepada Singapura pada 2008.

Pesuruhjaya Pas Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pasukan khas itu akan mengumpulkan bukti baru bagi mendapatkan semula hak kedaulatan itu kepada negeri ini mengikut cara perundangan sah.

“Pasukan ini ditubuhkan sejak 4 Januari lalu dan kita akan berusaha mengumpulkan pelbagai bukti berkaitan termasuk menemui pegawai veteran yang pernah berkhidmat dengan kerajaan British pada ketika itu.

“Kami yakin banyak bukti tidak dikemukakan ketika perbicaraan mengenai pulau berkenaan sebelum ini,” katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sentral, semalam.

Dalam laporan itu, Pas Johor mendesak agar pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci berhubung pengakuan bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim.

Aminolhuda berkata, keputusan itu turut dibuat susulan pengakuan Mat Zain yang mendakwa berlaku salah laku membabitkan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail ketika mengendalikan kes berkenaan.

“Sebagai rakyat Johor, keputusan ICJ yang memihak kepada Singapura amat memeranjatkan dan menimbulkan persoalan sedangkan kedudukannya lebih dekat dengan negeri ini.

“Pendedahan bersumpah ini amat memeranjatkan dan kita mahu pihak berkuasa menyiasat sejauh mana kebenaran dakwaan ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya I Pas Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, mereka juga akan menemui pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya wujud unsur penyelewengan dalam kes berkenaan.

“Selain itu kita juga akan cuba adakan pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagi mendapatkan kepastian mengenai pendirian kerajaan negeri dalam hal ini.

“Melalui pasukan khas ini, kita juga akan adakan lebih banyak laporan polis agar tindakan tegas diambil di samping mengadakan penjelajahan sebagai pendedahan kepada rakyat Johor,” katanya.

Pada 2008, ICJ memutuskan bahawa Pulau Batu Putih adalah milik Singapura.

Bagaimanapun, dalam penghakiman itu yang dibacakan oleh Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh, ICJ memutuskan Middle Rocks dimiliki oleh Malaysia.