Sunday, January 19, 2014

PERKASA mahu PM nasihat semua raja bertitah

19 Jan 2014

Kumpulan pendesak Melayu PERKASA hari ini menjunjung kasih terhadap titah Sultan Kedah bahawa penggunaan kalimah Allah sebagai hak eksklusif umat Islam dan dilarang penggunaannya oleh penganut agama lain.
Presidennya Ibrahim Ali bagaimanapun berharap perdana menteri dapat menasihati semua raja-raja Melayu supaya mengeluarkan titah yang sama.

“PERKASA juga berharap PM agar menasihati semua raja-raja Melayu mengeluarkan titah yang sama dengan tegas, sebagai ketua agama Islam negeri masing-masing,” katanya.

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (kanan) pada istiadat menyembah tahniah dan pengurniaan darjah serta bintang kebesaran sempena keputeraan baginda ke-86 di Alor Setar antaranya bertitah, penggunaan kalimah Allah yang menjadi hak eksklusif umat Islam perlu dihormati dan dilarang penggunaannya oleh penganut agama lain.
Menurut baginda lagi, kekeliruan dan kontroversi boleh dielakkan jika peruntukan undang-undang dan keputusan penghakiman dipatuhi – yang menjadi amalan masyarakat majmuk yang menjadi penyumbang kestabilan dan keharmonian rakyat selama ini.

Dalam kenyataannnya hari ini, Ibrahim juga berkata, kerajaan melalui berbagai pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang mengunakan kalimah Allah seperti dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) baru-baru ini.

“Konsep 1Malaysia bukan Malaysian Malaysia, tetapi bertunjang kepada asas perlembagaan negara,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment