Felda
Global Ventures Holdings Bhd (FGV) memfailkan saman terhadap 12 bekas
Ahli Lembaga anak syarikat yang dibelinya, Pontian United Plantation Bhd
(Pontian) atas dakwaan pecah amanah melibatkan kerugian sebanyak
RM29.14 juta kepada syarikat tersebut.
Menurut kenyataan FGV ke Bursa Malaysia kelmarin, saman yang difailkan
ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan 12 defendan iaitu Dr Chen
Man Hin, Soo Lim Pang, Khoo Siong Kee, Soh Lim Chang, Soo Chong Veoy,
Tan Kim Hai, Dr Wong Shiak Sun, Wong Loi, Khoo Lian Fue @ Khoo Bing
Sing, Chew Ah Siong, Dr Christopher Chen Li Hsian dan Dr John Chen Li
Tat, seperti dilapokan Utusan Malaysia, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Mohd Emir Mavani Abdullah, berkata Pontian diambil alih oleh FGV pada 1 Oktober 2013 lalu.
Beliau berkata, pengambilalihan itu akan meningkatkan pengeluaran
minyak sawit mentah (MSM) syarikat sebanyak 80,000 tan metrik setahun,
selain kumpulan mendapat manfaat daripada sinergi yang terhasil
membabitkan operasi kedua-dua ladang di Sabah.
Sementara itu, menurut sumber, semua bekas ahli lembaga pengarah itu
termasuk Man Hin yang juga Penasihat Seumur Hidup DAP didakwa bertindak
menyalahgunakan kuasa mereka untuk meluluskan beberapa transaksi demi
kepentingan diri pada 3 September tahun lalu.
Bekas ahli lembaga pengarah terbabit mengadakan Mesyuarat Tergempar
Lembaga dan mencadangkan pembayaran gratuiti berjumlah RM28.7 juta dan
bajet percutian RM432,000 tanpa pengetahuan FGV.
Sumber itu memberitahu, mesyuarat tersebut dibuat hanya sehari selepas
pengambilalihan Pontian United Plantation oleh FGV dimuktamad pada 2
September melibatkan kos RM1.2 bilion manakala pembayaran transaksi
kepada bekas ahli lembaga pengarah berlaku pada 6 September.
Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat pada 3 Januari lalu di
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dan siasatan dibuat
mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara minimum
dua tahun dan maksimum 20 tahun selain sebatan serta denda.
"Kita kesal dengan apa yang berlaku kerana jelas segala transaksi yang
dilakukan oleh mereka adalah penyelewengan ke atas aset Pontian United
Plantation, sedangkan selaku pemilik saham majoriti dengan jumlah
50.25%, sebarang keputusan memerlukan kelulusan FGV.
"Tindakan undang-undang adalah jawapan terbaik bagi menyelesaikan isu
itu kerana perbuatan mereka secara sedar mengadakan Mesyuarat Tergempar
Lembaga dengan tergesa-gesa bagi tujuan pecah amanah tidak boleh
dibiarkan," katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini. – 10 Januari,
2014. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment