Anak
kepada mantan perdana menteri, Datin Paduka Marina Mahathir (gambar)
hari ini memfailkan saman kepada Presiden Pertubuhan Ikatan Muslimin
Malaysia (Isma), Abdullah Zaik dan 15 ahli jawatankuasa (AJK) badan
bukan kerajaan (NGO) itu atas dakwaan memfitnahnya.
Marina yang juga ahli lembaga Sisters in Islam (SIS) memfailkan saman
berkenaan ekoran tindakan Isma mengedarkan 70,000 risalah bertajuk
“Antara 54 NGO dalam Comango” pada 8 November 2013.
Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia melaporkan hari ini risalah itu
diedarkan di masjid sekitar Lembah Klang, Bandar Baru Bangi, Putrajaya,
Seremban, Samarahan (Sarawak), Melaka, Kuantan dan Kuala Terengganu.
Marina berkata, pada hari Isma mengedarkan 70,000 risalah tersebut,
satu laporan bertajuk “Isma edar 70,000 risalah dedah dalang Comango”
menerusi laman webnya.
Katanya, pernyataan palsu Isma berniat jahat yang membawa maksud
antaranya, beliau terlibat secara peribadi dalam laporan yang
diterbitkan Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango) sebagai anti Islam
dan kurang pegangan agama sehingga diaib dan dihina.
Marina menuntut ganti rugi, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk serta perintah injunksi.
Pesuruhjaya Kehakiman, Rosilah Yop ketika pengurusan kes di kamar
beliau hari ini menetapkan 10 Mac ini untuk pihak defendan memfailkan
pembelaan, menurut laporan itu. – 26 Februari, 2014.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment