Kenyataan
Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang mendakwa telah menyediakan
pelan penjadualan semula bekalan air adalah tidak benar kerana syarikat
konsesi air itu gagal membentangkannya dalam empat mesyuarat berasingan,
kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar).
Menteri Besar Selangor mendakwa perbincangan mengenai cadangan
pelaksanaan penjadualan pengagihan air telah dibincangkan bersama wakil
Syabas dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air Selangor
sejak 18 Februari 2014.
“Jawatankuasa berkenaan meminta Syabas membentangkan pelan tersebut
dalam mesyuarat pada 20 Februari tetapi Syabas hanya membentangkan
kertas cadangan catuan bekalan air.
Syabas dalam satu sidang media hari ini mendakwa pelan penjadualan
semula bekalan air disediakan sebaik sahaja Khalid mengeluarkan arahan
tindakan kecemasan bagi kawasan yang terjejas Jumaat lalu.
Pengarah Eksekutif Teknikal Konsesi Air Syabas V. Subramaniam berkata,
bagaimanapun ia hanya diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air
Negeri (SPAN) semalam.
Khalid berkata menjadikan SPAN sebagai alasan amat tidak masuk akal,
mengarut dan tidak boleh diterima kerana perkara ini mustahak dan
melibatkan kepentingan rakyat.
Katanya, persetujuan untuk Syabas melaksanakan pelan penjadualan
pengagihan air sekiranya pelepasan air mentah daripada empangan
dilaksanakan telah pun diberikan oleh kerajaan negeri.
“Kerajaan Negeri terpaksa melaksanakan pengurangan pelepasan air
daripada empangan untuk memastikan pengguna tetap menerima bekalan air
walaupun berselang seli sehingga akhir Mac ini.
“Kami tegaskan bahawa keadaan pada ketika ini berbeza dengan apa yang
berlaku pada Julai 2012 apabila Syabas mengumumkan catuan air di Lembah
Klang tanpa mendapat persetujuan kerajaan negeri dan ahli lembaga
pengarah Syabas,” katanya.
Semalam, Khalid membidas Syabas kerana gagal menyediakan pelan kecemasan berikutan kekurangan air kerana musim kemarau.
Katanya, ekoran kegagalan Syabas menyediakan pelan kecemasan
menyebabkan kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan jadual catuan sendiri
di mana ia hanya diumumkan pada semalam.
Khalid berkata, langkah catuan air membolehkan bekalan air dapat bertahan selama beberapa hari lagi.
Sementara itu, Syabas berkata, catuan air hanya melibatkan kawasan
tertentu seperti di Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang di mana kawasan
tersebut dibahagikan kepada dua zon.
Pengarah Eksekutif Operasi Syabas, Yusof Saraji, berkata catuan air
akan bermula 27 Februari dan akan berterusan sehingga akhir Mac. – 25
Februari, 2014. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment